Serangan udara yang dilancarkan Israel ke atas Iran pada minggu bukan sahaja gagal mencapai objektif strategik, malah memberi kesan sebaliknya.
Bukan sahaja kekuatan Iran tidak berjaya dilumpuhkan, malah serangan rejim zionis tersebut sebaliknya mengukuhkan kedudukan negara Parsi itu sebagai kuasa ketenteraan yang semakin digeruni di Timur Tengah.
Meskipun operasi tersebut mendapat sokongan logistik dan risikan dari Amerika Syarikat (AS), tindak balas serta daya tahan yang ditunjukkan oleh Iran amat luar biasa.
Ia telah memperlihatkan bahawa negara itu bukan mudah diperlekehkan dalam arena geopolitik serantau. Serangan tersebut yang sepatutnya menjadi isyarat kekuatan Israel dilihat tidak memberi impak besar terhadap sasaran utama di Iran.
Sebaliknya, ia telah menyerlahkan ketahanan sistem pertahanan udara Iran yang terbukti mampu menangkis peluru berpandu dan serangan udara berketepatan tinggi. Ini sekali gus membuktikan bahawa Iran telah mencapai satu tahap kesiapsiagaan dan kecekapan yang tinggi dalam pertahanan strategik.
Apa yang lebih signifikan ialah bagaimana Iran memanfaatkan situasi ini untuk mempamerkan keupayaan persenjataan canggihnya.Ia termasuk peluru berpandu hipersonik yang mempunyai keupayaan serangan jarak jauh. Iran dipercayai melancarkan peluru berpandu hipersonik Fattah-1 atau Fattah-2.
Kekuatan yang dipamerkan ini bukan sahaja memperlihatkan kemajuan teknologi ketenteraan Iran. Lebih daripada itu ia turut menghantar mesej jelas kepada musuh-musuhnya bahawa negara itu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan konflik berskala besar.

Peluru berpandu balistik Iran (Foto Hiasan)
Gencatan senjata yang diumumkan selepas serangan tersebut pula dilihat sebagai satu bentuk kelegaan buat Israel, yang tidak mampu meneruskan tekanan ketenteraan berpanjangan ke atas Iran.
Keadaan ini juga boleh dilihat pada kesan ke atas penduduk awam Israel yang tidak tahan menanggung kesan psikologi daripada serangan udara lawan.
Walaupun apa yang dipamerkan media Israel adalah cubaan meraih simpati sebagai mangsa perang tersebut dan propaganda tetapi dunia telah melihat sisi sebenar sikap penduduk di sana.
Sepertimana diketahui, Israel mempunyai sistem pertahanan kubu bawah tanah untuk melindungi rakyatnya jika berlaku serangan udara. Malah, penduduk Israel telah dibiasakan dengan kawad-kawad jika berlaku serangan luar dengan segera berlindung dalam kubu bawah tanah.
Namun hakikatnya apabila insiden sebenar berlaku ada yang tidak dapat menahan emosi ketakutan. Media Israel melaporkan 24 rakyatnya terkorban manakala lebih 592 cedera termasuk 10 parah.
Dalam konteks ini, tekanan yang digerakkan oleh AS juga dilihat tidak banyak membantu, malah mencerminkan kegagalan kuasa Barat untuk menggugat kekuatan struktur dalam Iran baik daripada aspek politik, ekonomi mahupun ketenteraan.
Selain itu, daya tahan rakyat Iran berdepan situasi perang ini juga luar biasa.
Tehran mengesahkan sekurang-kurangnya 610 rakyatnya terbunuh dan 4,746 lagi cedera dalam tempoh 12 hari serangan udara Israel sejak 13 Jun lalu. Angka korban ini sebagai bukti bahawa serangan Israel menyasarkan kawasan awam dan bukan hanya kemudahan ketenteraan.
Lebih penting lagi, konflik ini telah mengubah persepsi umum terhadap Iran.
Jika sebelum ini negara itu sering digambarkan sebagai ancaman yang belum terbukti kekuatannya, kini Iran berdiri sebagai sebuah kuasa yang memiliki kombinasi kekuatan pertahanan dan kemampuan serangan strategik.

Peluru berpandu dilihat di barat daya Iran pada 2021, semasa latihan bersama yang dipanggil ‘Great Prophet 17′(Foto Hiasan)
Kementerian Kewangan Israel dalam kenyataan rasmi menganggarkan kos perang yang ditanggung sebanyak AS$5.4 bilion manakala kemusnahan harta benda dianggarkan AS$1.35 bilion. Kos perang yang ditanggung Iran sepanjang melancarkan serangan balas pula dikatakan hanya sekitar AS$80 hingga AS$100 juta.
Walaupun konflik ini belum mencapai tahap peperangan konvensional sepenuhnya, tindak balas Iran terhadap serangan Israel telah memberikan mereka kelebihan dari sudut naratif dan persepsi antarabangsa.
Dalam masa yang sama, tindakan Israel yang sering digembar-gemburkan sebagai mempunyai angkatan tentera paling moden di Asia Barat mula dipersoal.
Kegagalan untuk menunjukkan dominasi jelas dalam serangan ke atas Iran seolah-olah mendedahkan sisi kelemahan mereka terutamanya dalam aspek peperangan darat dan konflik berpanjangan.
Kesimpulannya, serangan ke atas Iran yang kononnya bertujuan untuk mengendurkan ancaman telah menjadi medan promosi kekuatan ketenteraan Iran kepada dunia. Ia menandakan satu era baharu dalam landskap keselamatan dan keseimbangan kuasa di Timur Tengah.
Iran kini bukan sahaja menjadi kuasa politik dan ideologi tetapi juga satu kuasa tentera yang dihormati dan harus diberi perhatian. -airtimes
#Kolumnis #AirTimes #konflik #TimurTengah