Home Semasa Kuasa besar dunia wajib hentikan pertempuran di Palestin – Agong

Kuasa besar dunia wajib hentikan pertempuran di Palestin – Agong

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 9 OKT – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa masyarakat antarabangsa dan kuasa besar dunia khususnya, wajib memikul tanggungjawab menghentikan pertempuran dengan serta merta di bumi Palestin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin memaklumkan, langkah itu bagi memastikan keamanan, kestabilan dan mengelakkan pertumpahan darah yang lebih teruk di negara berkenaan.

“Seri Paduka menzahirkan rasa dukacita dan gusar dengan konflik terkini di bumi Palestin yang telah mengorbankan ratusan nyawa di kedua-dua pihak,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Zahari berkata, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan sokongan kepada ketetapan Kerajaan Malaysia yang menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengambil tindakan segera agar semua pihak menghentikan keganasan, sekali gus menghormati dan melindungi nyawa orang awam.

“Seri Paduka turut menyeru negara-negara Islam terutamanya Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk bersatu padu membantu menangani kesengsaraan dan masalah yang dihadapi oleh Palestin,

“Ini adalah kerana penafian hak asasi rakyat Palestin, terutamanya pembentukan sebuah negara merdeka dan berdaulat dan penindasan yang berterusan adalah punca utama ketegangan Israel-Palestin berterusan,

“Selain itu, ia juga telah diakui bahawa rakyat Palestin berterusan diselubungi pendudukan haram, sekatan dan penderitaan serta pencerobohan ke atas Masjid Al-Aqsa sejak sekian lama,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Seri Paduka turut bertitah agar Malaysia dan rakyatnya sentiasa bersolidariti bersama Palestin dan menyeru seluruh rakyat supaya terus memperjuangkan prinsip keadilan, sikap hormat menghormati, di samping menentang sebarang bentuk keganasan dan kezaliman sesama manusia.

Jelasnya, baginda turut menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama untuk bersama baginda berdoa mengikut pegangan kepercayaan masing-masing agar pergolakan dan keganasan terbaharu itu dapat dihentikan segera.

“Seri Paduka juga mendoakan supaya rakyat Palestin dilindungi dan tanah air mereka dibebaskan daripada penjajahan dan penindasan rejim Israel,

“Al-Sultan Abdullah turut menyeru masjid dan surau di negara ini serta rakyat yang beragama Islam di kediaman sendiri untuk mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan daripada Allah SWT untuk memelihara kesejahteraan rakyat Palestin. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply