KUALA LUMPUR, 9 OKT – Malaysia kekal berpendirian agar rakyat Palestin perlu dikembalikan hak mutlak bebas daripada pendudukan haram Israel.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia termasuk hak untuk mengembalikan tanah yang dirampas oleh Zionis dan hak membentuk sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
“Pendirian lantang dan tegas Malaysia telah kerap kali dinyatakan secara jelas dan terang di setiap lapangan, keadaan dan masa,
“Ia termasuk di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),
“Ketegasan Malaysia juga jelas dapat dilihat berdasarkan kenyataan keras yang seringkali dikeluarkan negara dalam mengecam dan membantah segala bentuk provokasi dan tindakan keganasan rejim Israel,
“Ia termasuk menggesa masyarakat antarabangsa khususnya Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk terus menekan rejim Israel agar menghentikan dasar apartheid, dan tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin,” katanya dalam sesi usul perkembangan semasa konflik Palestin-Israel di Dewan Rakyat pada Isnin.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menjelaskan, Malaysia terbuka dan akan terus menyokong segala usaha konkrit serta realistik untuk mencari jalan penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap konflik Palestin-Israel.
“Penyelesaian ini hendaklah berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan PBB serta memenuhi teras-teras yang telah saya nyatakan dahulu,
“Ia juga termasuk memberi sokongan terhadap keabsahan rakyat Palestin membentuk sebuah negara yang bebas daripada pencerobohan Israel yang berterusan dalam meluaskan penempatan Yahudi di Tebing Barat,
“Sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia amat jelas dan merentasi segala aspek baik dari segi politik, ekonomi dan penyaluran bantuan kewangan, pembangunan kapasiti, termasuk pembangunan semula infrastruktur,” tambahnya lagi.
Mengulas lanjut, beliau menggesa ahli-ahli Parlimen menyokong sepenuhnya ketetapan yang digariskan kerajaan atas semangat perpaduan dan soladiriti rakyat Malaysia dan berdasarkan prinsip Malaysia Madani seperti kemampanan, kesejahteraan, hormat dan ihsan.
Tambahnya, antara ketetapan itu adalah, Majlis Keselamatan PBB perlu mengambil tindakan segera untuk menggesa semua pihak menghentikan segala tindakan keganasan dan pertempuran demi menghormati dan melindungi nyawa orang awam,
“Masyarakat antarabangsa hendaklah meningkatkan tekanan ke atas semua pihak untuk mengambil tindakan segera menghentikan pertempuran demi keamanan dan kestabilan serantau,
“Rakyat Palestin perlu dikembalikan hak mutlak bebas daripada pendudukan haram Israel, hak dikembalikan tanah yang telah dirampas oleh Israel dan hak membentuk sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” ujarnya lagi.-airtimes.my