RIYADH, 6 FEB – Kementerian Luar Negeri Arab Saudi menegaskan bahawa ia tidak akan menormalisasikan hubungan dengan Israel tanpa pembentukan negara Palestin.
Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman Abdulaziz Al Saud mengulangi pendiriannya semasa ucapan pembukaan sesi pertama penggal kesembilan Majlis Syura pada tahun lalu.
“Baginda menegaskan bahawa Arab Saudi akan terus berusaha tanpa henti bagi menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, dan tidak akan menjalin hubungan diplomatik dengan Israel tanpa syarat tersebut.
“Baginda turut mengulangi pendirian tegas ini dalam Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam yang diadakan di Riyadh pada November 2024,” ujarnya pada Rabu.

Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mohammed Salman Abdulaziz Al Saud
Baginda yang juga Perdana Menteri Arab Saudi menekankan usaha berterusan untuk menubuhkan negara Palestin berdasarkan sempadan 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, serta menuntut pengakhiran penjajahan Israel ke atas tanah Palestin.
“Baginda juga menyeru negara lain agar mengiktiraf negara Palestin, serta menegaskan kepentingan menggerakkan komuniti antarabangsa untuk menyokong hak rakyat Palestin, seperti yang dinyatakan dalam resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk pengiktirafan Palestin sebagai layak mendapat keahlian penuh dalam PBB.
“Kerajaan Arab Saudi turut menegaskan penolakan mutlak terhadap sebarang pelanggaran hak sah rakyat Palestin sama ada melalui dasar penempatan haram Israel, pengilhakan tanah, atau percubaan mengusir rakyat Palestin dari tanah mereka,” tegasnya.
Kerajaan Arab Saudi turut menekankan bahawa pendirian tegas ini tidak boleh dirunding dan tidak akan dikompromi.
Jelasnya lagi, mencapai keamanan yang berkekalan dan adil adalah mustahil tanpa rakyat Palestin memperoleh hak mereka yang sah selaras dengan resolusi antarabangsa, seperti yang telah dijelaskan kepada pentadbiran AS sebelum ini dan yang sedang berkuasa sekarang.
Terdahulu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan bahawa beliau percaya normalisasi hubungan dengan kerajaan Teluk itu akan berlaku.
Netanyahu membuat kenyataan itu di White House bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang pentadbirannya pada tahun 2020 menjadi perantara bagi perjanjian yang membolehkan Israel menjalin hubungan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Maghribi dan Bahrain. -airtimes.my
#ArabSaudi #Palestin #normalisasi #hubungan #penubuhanPalestin #antarabangsa #Airtimes