Home SemasaGlobal Gencatan senjata sementara di Gaza bermula hari ini – Qatar

Gencatan senjata sementara di Gaza bermula hari ini – Qatar

by M.Daim

DOHA, 24 NOV – Gencatan senjata sementara selama 4 hari di Gaza akan bermula pada hari ini.

Perkara tersebut telah disahkan oleh Kementerian Luar Qatar dalam satu kenyataan yang menjelaskan gencatan tersebut akan bermula pada 7 pagi waktu Gaza (1 tengah hari waktu Malaysia).

“Pertemuan dan rundingan yang komprehensif telah dilaksanakan di Doha bagi membincangkan pelan pelaksanaan gencatan senjata,

“Ia melibatkan pihak Mesir dan juga wakil dari kedua-dua pihak (Israel dan Hamas),” kata Kementerian Luar Qatar dalam satu hantaran di akaun media sosial rasmi mereka.

Tambahnya, kumpulan pertama tahanan akan dibebaskan dari Gaza pada pukul 4 petang (10 malam waktu Malaysia).

Pembebasan kumpulan tahanan tersebut merupakan sebahagian daripada perkara yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak semasa rundingan gencatan sementara.

Sebagai tukaran, Israel akan membebaskan sejumlah tahanan Palestin.

Qatar sebelum ini menyatakan tahanan yang dibebaskan oleh kedua-dua pihak adalah terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

Media antarabangsa sebelum ini turut melaporkan Israel bersedia untuk menambah tempoh gencatan sementara sehari untuk setiap 10 tahanan tambahan dibebaskan.

Terdahulu, Qatar mengumumkan Gaza dan Tel Aviv telah bersetuju untuk mengadakan gencatan sementara di wilayah bergolak itu.

Pada 22 November, pihak Knesset (Parlimen Israel) telah mengundi untuk bersetuju bagi mengadakan gencatan sementara yang telah dirunding oleh kedua-dua pihak bertelagah melalui mediasi oleh Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat.

Menyentuh gencatan tersebut, Hamas dalam satu kenyataan mendedahkan beberapa intipati gencatan sementara yang dicapai.

Antaranya, menghentikan operasi ketenteraan di kedua-dua pihak di Gaza. Selain daripada itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk membenarkan kemasukan trak bantuan dalam jumlah yang besar ke seluruh kawasan di Gaza.

Pada masa yang sama, gencatan sementara ini turut menghentikan operasi udara di selatan Gaza. Selain itu, operasi udara turut dihentikan pada tempoh 6 jam setiap hari di utara Gaza.

“Semasa gencata sementara ini, tentera Israel tidak akan menyerang mahupun menahan sesiapa sahaja di dalam Gaza,

“Selain itu, pergerakan penduduk ke kawasan selatan Gaza melalui Jalan Salah Al-Din tidak akan disekat atau diganggu,” kata Hamas dalam satu kenyataan.

Pun begitu, gencatan sementara ini tidak menyentuh pengunduran tentera Israel dari kawasan Semenanjung Gaza. – airtimes.my

#AirTimes #malaysia #global

Related Articles

Leave a Reply