KUALA LUMPUR, 29 Apr – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa sukacita dan bersyukur kerana 30 rakyat Malaysia diselamatkan dari Khartoum, ibu negara Sudan yang dilanda konflik, selamat tiba di tanah air semalam.
Menerusi hantaran di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia, khususnya pasukan operasi dari Malaysia dan di Sudan diketuai Duta Besar Malaysia ke Sudan, Mohamad Razdan Jamil, atas usaha dan kejayaan membawa pulang rakyat dengan segera demi keselamatan mereka.
“Penghargaan juga diberikan kepada pemimpin dan Kerajaan Arab Saudi dan Emeriah Arab Bersatu (UAE) atas bantuan yang diberikan dalam operasi berkenaan,
“Al-Sultan Abdullah tidak ketinggalan menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakyat dan masjid-masjid yang melakukan solat hajat dan doa selamat bagi keselamatan serta kesejahteraan rakyat Malaysia di Sudan berikutan krisis yang berlaku di negara itu,” jelas hantaran itu.
Semalam, seramai 30 orang rakyat Malaysia terdiri daripada pegawai Wisma Putra, pekerja Petronas dan pelajar, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 2.54 petang melalui penerbangan Saudi Arabian Airlines dari Jeddah.
Pada Khamis lepas, Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abd Kadir dilaporkan berkata, usaha membawa keluar rakyat Malaysia menerusi misi menyelamat oleh Pasukan Khas Ops Sudan, pastinya lebih sukar sekiranya tiada pembabitan Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kerajaan turut sampaikan junjungan kasih Yang di-Pertuan Agong atas keprihatinan baginda yang mengikuti setiap detik perkembangan rakyat Malaysia di sana,
“Kita juga ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinan beliau yang mengikuti perkembangan dan ambil langkah supaya pastikan operasi dibuat sebaik-baiknya termasuk hubungi pemimpin terbabit pertikaian di sana,
“Atas usaha itu kita dapat laksanakan misi ini biarpun sukar, tahniah dan penghargaan kita kepada pasukan operasi dari Malaysia dan di Sudan diketuai duta kita,” katanya pada Khamis.
Lebih 400 orang dilaporkan terbunuh dan lebih 3,500 cedera ekoran konflik bersenjata antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) yang tercetus pada 15 April lepas.
Dilaporkan terdapat 32 rakyat Malaysia berada di Sudan iaitu di 7 tempat berbeza dan pada 21 April lepas, 2 rakyat Malaysia dibawa keluar dan dipindahkan ke tempat selamat.
2 rakyat Malaysia itu merupakan individu yang berkhidmat dengan Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Sudan (UNMIS) di Abyei dan proses evakuasi mereka akan dilakukan oleh pihak PBB. -airtimes.my