Home SemasaGlobal Konflik Basilan: Tentera, MILF capai gencatan senjata

Konflik Basilan: Tentera, MILF capai gencatan senjata

by M.Daim

BASILAN, 11 Nov – Pasukan tentera Filipina dan kumpulan Moro Islamic Liberation Front (MILF)

telah bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata.

Gencatan senjata di antara kedua-dua pihak sekaligus menamatkan persengketaan yang memakan masa hampir 3 hari di Barangay Ulitan, Ungkaya Pukan, Basilan.

Perkara tersebut telah disahkan oleh Jabatan Penasihat Presiden untuk Keamanan, Pendamaian dan Perpaduan (OPAPRU) dalam satu kenyataan.

Menurutnya, gencatan senjata yang telah dicapai di antara tentera dan MILF mengandungi 5 perkara yang dipersetujui oleh semua pihak.

“Antara perkara yang dicapai adalah gencatan senjata serta-merta di antara tentera dan kumpulan Komander Huram Malangka dari 144th Based Command Bangsamoro Islamic Armed Forces-MILF,

“Pasukan bantuan dan ahli kumpulan BIAF-MILF yang bukan pendududk di Ulitan dikehendaki keluar dari Ulitan,” kata kenyataan itu.

Selain daripada itu, kumpulan Komander Huram dibenarkan kembali ke Ulitan dan menyimpan senjata mereka di rumah.

“Satu kumpulan yang terdiri daripada tentera, polis dan BIAF-MILF akan dibentuk bagi melaksanakan penguatkuasaan undang-undang serta menjaga keamanan dan kedamaian setempat secara bersama,

“Sebarang isu dan kebimbangan yang berkaitan BIAF-MILF di Pukan akan dibangkitkan kepada pihak jawatankuasa pendamaian untuk penyelesaian segera,” katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Penasihat Keamanan Presiden, Carlito Galvez Jr menegaskan gencatan senjata yang dicapai adalah simbol komitmen antara semua pihak untuk meredakan keadaan dari menjadi lebih buruk.

Terdahulu, tentera kerajaan Filipina dan pasukan bersenjata BIAF-MILF telah bertempur di Ulitan semenjak Selasa selepas berlakunya tembakan sniper yang mencederakan seorang anggota tentera.

Pertempuran yang tercetus diantara kedua-dua pihak telah menyebabkan 10 orang terkorban.

3 anggota tentera disahkan maut oleh pihak Manila. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply