KOTA TINGGI, 11 Nov – Tentera Darat Malaysia (TDM) telah merampas kotak-kotak yang mengandungi 1,250 karton rokok seludup jenama LA Bold yang dianggarkan bernilai RM75,000 di pinggir pantai Padang Lima, Sedeli Kecil, awal pagi tadi.
Markas Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam kenyataan memaklumkan, hasil maklumat perisikan, anggota ronda telah mengesan longgokan kotak-kotak tersebut di kawasan Operasi (Op) Benteng bawah tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Bgd).
Menurut Markas 3 Div, kesemua rokok itu dipercayai baharu sahaja dinaikkan dari perairan dan menunggu untuk diambil oleh orang perantaraan peruncit untuk dijual di pasaran Malaysia.
“Nilai rampasan rokok seludup tersebut bernilai RM75,000,
“Kesemua barang rampasan akan diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan selanjutnya,” jelas kenyataan itu.
Tambah 3 Div, anggota pasukannya akan meneruskan atur gerak Tim QRF dan Tim Dron ATM serta bantuan dari pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan. -airtimes.my