Home SemasaKDN perkukuh kawalan sempadan, dokumen perjalanan Israel kekal tidak diiktiraf

KDN perkukuh kawalan sempadan, dokumen perjalanan Israel kekal tidak diiktiraf

Kementerian tegaskan penguatkuasaan imigresen, penilaian risiko keselamatan dan kerjasama bersepadu agensi akan terus diperkasakan bagi melindungi keselamatan negara.

by Zulfadhli Azmie
A+A-
Reset

PUTRAJAYA, 28 JUL – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan terus memperkukuh kawalan sempadan negara selaras dengan dasar Kerajaan MADANI berhubung kemasukan warganegara Israel. Kementerian turut menegaskan dokumen perjalanan yang dikeluarkan oleh Israel kekal tidak diiktiraf bagi tujuan kemasukan ke Malaysia.

Perkara itu dinyatakan KDN menerusi satu kenyataan media hari ini yang menjelaskan penguatkuasaan kawalan sempadan, pemeriksaan imigresen, penguatkuasaan undang undang serta aspek keselamatan dalam negeri akan terus dilaksanakan secara tegas, profesional dan tanpa kompromi.

Menurut kenyataan itu, Jabatan Imigresen Malaysia akan terus menguatkuasakan semua peruntukan undang undang berkaitan kemasukan warga asing berdasarkan Akta Imigresen 1959/1963, Akta Pasport 1966, peraturan imigresen yang berkuat kuasa serta penilaian keselamatan oleh agensi keselamatan negara.

“Dokumen perjalanan yang dikeluarkan oleh Israel tidak diiktiraf bagi tujuan kemasukan ke Malaysia, selaras dengan dasar Kerajaan Malaysia yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara berkenaan,” kata kenyataan itu.

KDN turut menjelaskan setiap permohonan kemasukan warga asing ke Malaysia akan melalui proses pemeriksaan imigresen, semakan keselamatan dan penilaian risiko secara menyeluruh.

Menurut kementerian, mana mana individu yang dikenal pasti boleh menjejaskan keselamatan, ketenteraman awam atau kepentingan negara, termasuk mereka yang tergolong sebagai imigran yang dilarang di bawah Seksyen 8 Akta Imigresen 1959/1963, tidak akan dibenarkan memasuki Malaysia atau akan dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang undang.

Dalam masa sama, KDN menegaskan pengurusan pintu masuk negara bukan sekadar melibatkan urusan imigresen, sebaliknya merupakan sebahagian daripada sistem keselamatan negara yang dilaksanakan secara bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia serta agensi penguatkuasaan berkaitan.

“KDN akan terus memperkukuh kawalan sempadan negara melalui penggunaan teknologi, perkongsian risikan, pemprofilan risiko serta penguatkuasaan yang bersepadu bagi memastikan Malaysia kekal selamat, berdaulat dan bebas daripada sebarang ancaman yang boleh menggugat keselamatan negara,” kata kenyataan itu.

Kenyataan tersebut turut menegaskan kementerian kekal komited melaksanakan segala dasar dan keputusan kerajaan secara profesional, telus dan berintegriti demi memelihara keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply