LUMUT, 27 JULAI – Lapan tahun dirancang, usaha untuk melihat bekas frigat KD Hang Tuah menjadi muzium kapal perang di Kompleks Muzium Diraja Lumut di sini semakin hampir.
Langkah itu dimulakan menerusi pertukaran dokumen perjanjian pembangunan, pengoperasian dan penyelenggaraan antara MB Inc. Perak (Perbadanan Menteri Besar Perak) dan Aero Art Sdn. Bhd.
Majlis pertukaran dokumen tersebut telah berlangsung di Bangunan SUK Perak pada 8 Julai lalu.
MB Inc Perak merupakan cabang pelaburan dan syarikat pegangan strategik kerajaan negeri Perak.
Kerjasama ini bagi merealisasikan pembangunan bersepadu Tapak Memorial Muzium Kapal Ex-KD Hang Tuah.
Projek berkenaan akan menampilkan sejarah, warisan maritim, pendidikan dan produk pelancongan dalam satu destinasi yang dijangka menjadi tarikan baharu di negeri Perak.
Pembinaan Kompleks Muzium Diraja Lumut ini juga sebagai usaha memperkukuh sektor pelancongan serta mengangkat identiti Lumut sebagai hab maritim negara.
Projek dijangka siap serta dibuka kepada orang ramai pada tahun 2027.
Sementara itu, Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad dalam kenyataan memberitahu, pembangunan projek berkenaan akan dilaksanakan melalui pendekatan kerjasama awam-swasta.
Katanya, Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.) dipertanggungjawabkan untuk bekerjasama dengan Aero Art Sdn. Bhd. bagi menyelaras dan menyelia pelaksanaannya.
“Pembangunan ini juga dirancang untuk menghidupkan semula kawasan Marina Wing dan Esplanade di Lumut melalui pertambahan kehadiran pengunjung, kegiatan perniagaan serta peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
“Konsep pelancongan ketenteraan yang diketengahkan melalui projek ini akan menambah kepelbagaian produk pelancongan maritim Perak.
“Ia juga menjadi tanda penghargaan Kerajaan Negeri terhadap jasa dan pengorbanan warga TLDM dalam mempertahankan keselamatan serta kedaulatan perairan negara,” ujarnya.
Pembangunan memorial muzium itu bukan sahaja memelihara khazanah sejarah negara, malah mampu merancakkan ekonomi setempat melalui peningkatan kehadiran pelancong ke daerah Manjung yang juga merupakan Bandar Tentera Laut.
Semasa dirancang pada tahun 2018, projek Transformasi KD Hang Tuah kepada Muzium TLDM akan dilaksanakan dengan kolaborasi TLDM bersama Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn Bhd dan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.
KD Hang Tuah telah berkhidmat bersama TLDM sejak tahun 1977 sebelum dilucutkan tauliah pada 3 Disember 2025 di Pangkalan TLDM Lumut.
Pelucutan tauliah kapal perang itu menandakan berakhirnya satu era penting dalam sejarah TLDM dan membuka lembaran baharu sebagai warisan maritim negara untuk tatapan generasi akan datang.
Bagaimana pun, pelaksanaan projek muzium maritim ini turut mengingatkan kita kepada pengalaman kapal Ex-KD Rahmat yang pernah dijadikan muzium terapung di pesisiran Lumut sejak 2011.
Kapal tersebut akhirnya ditutup pada Ogos 2016 atas faktor keselamatan sebelum mengalami kebocoran dan senget di Marina Waterfront pada 2017.
Insiden itu mengundang kekecewaan kerajaan negeri pada waktu itu yang menyifatkan kegagalan syarikat swasta menguruskan Ex-KD Rahmat sebagai satu kecuaian serius.
Justeru, projek Memorial Muzium KD Hang Tuah dijangka memberi penekanan terhadap aspek pengoperasian, penyelenggaraan dan pemeliharaan yang lebih sistematik bagi memastikan warisan bersejarah itu terus terpelihara.
Dengan perancangan yang lebih menyeluruh, memorial muzium tersebut diharap mampu menjadi mercu tanda baharu pelancongan maritim Perak serta menghargai jasa dan pengorbanan warga TLDM kepada negara.-airtimes.my
