Home Pertahanan dan KeselamatanKM Bendahara benteng baharu APMM awasi perairan Sabah

KM Bendahara benteng baharu APMM awasi perairan Sabah

by Zaki Salleh
A+A-
Reset

KOTA KINABALU, 26 JUL – Kapal peronda luar pesisir KM Bendahara secara rasmi menjadi aset baharu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bagi memperkuatkan penguatkuasaan dan pengawasan.

KM Bendahara, bekas kapal Pengawal Pantai Amerika Syarikat, USCG Steadfast jenis Cutter yang dibina pada 1967 dan menamatkan perkhidmatan selepas lebih lima dekad pada 1 Februari 2024.

Nama Bendahara ini melambangkan kebijaksanaan, kewibawaan, kesetiaan serta amanah yang menjadi tonggak pentadbiran Kesultanan Melayu.

Ia diharap menjadi inspirasi kepada seluruh warga kapal dalam melaksanakan tanggungjawab mempertahankan kedaulatan perairan negara.

Amerika Syarikat menyerahkan kapal tersebut kepada kerajaan Malaysia menerusi Program Jualan Ketenteraan Asing (Foreign Military Sales – FMS).

Aset tersebut diserahkan secara rasmi kepada Maritim Malaysia pada 5 September 2025 di Baltimore, Amerika Syarikat.

Penyerahan USCG Steadfast menjadi simbol terhadap peranan Malaysia sebagai rakan strategik yang bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan perairan serantau.

Nama ‘cutter‘ berasal dari bot layar Inggeris abad ke-18 yang terkenal dengan reka bentuknya yang tajam dan pantas, dibina untuk ‘membelah’ atau ‘memotong’ permukaan air ketika belayar.

Sepanjang perkhidmatan, USCG Steadfast menjadi antara tulang belakang USCG dalam menguatkuasakan undang-undang maritim.

Walaupun disifatkan sebagai telah berusia kerana lebih 50 tahun, namun kapal kelas cutter ini masih dalam keadaan baik, malah mampu untuk digunakan sehingga 15 tahun lagi.

Ketahanan kapal ini dibuktikan apabila ia berjaya menamatkan pelayaran penghantaran rentas lautan selama 49 hari.

Sepanjang pelayaran mencabar ini kapal merentasi Lautan Atlantik, Laut Mediterranean, Laut Merah dan Lautan Hindi yang dikendalikan sepenuhnya oleh kru APMM.

Pelayaran bermula pada 17 September 2025 sebelum tiba di Klang pada 4 November, seterusnya di Kota Kinabalu pada 14 November 2025.

Difahamkan kerajaan telah memperuntukkan lebih RM30 juta bagi membiayai kerja-kerja penyelenggaraan, baik pulih kapal, latihan kru serta pelayaran pulang aset tersebut.

Ini merupakan pelaburan strategik dalam meningkatkan kesiapsiagaan Maritim Malaysia.

KM Bendahara yang seberat 759 tan dengan panjang 64 meter membawa 75 kru termasuk 12 pegawai.

Ia boleh belayar pada kelajuan 18 knot dilengkapi selaras meriam kaliber 25mm, dua laras mesingan berat serta geladak pendaratan helikopter.

Terdahulu, majlis penamaan kapal KM Bendahara disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Dr. Awang Alik Jeman, di Kota Kinabalu, Sabah.

Hadir sama Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli Abdullah.

Majlis berkenaan turut mencerminkan hubungan strategik antara Malaysia dan Amerika Syarikat dalam bidang keselamatan maritim.

KM Bendahara akan beroperasi bersama aset ronda luar pesisir lain termasuk KM Tun Fatimah dan KM Arau.

Aset-aset ini memperkukuh kehadiran operasi, rondaan serta penguatkuasaan di Laut China Selatan dan perairan Sabah. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply