Saban tahun, tanggal 31 Julai disambut sebagai detik peringatan bersejarah bagi menghargai keringat, perjuangan, dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh para perwira tanah air demi kedaulatan negara.
Detik yang penuh makna ini sewajarnya diraikan dengan penuh istiadat hormat serta terus disemai dalam ingatan setiap generasi. Sejarah sesebuah negara lazimnya terakam indah dalam buku teks, monumen peringatan dan rekod rasmi kerajaan.
Hakikatnya, di sebalik tumpuan yang sering diberikan kepada pahlawan terkenal atau nama-nama besar yang menghiasi catatan sejarah, terdapat ribuan lagi pejuang tempatan serta veteran tentera yang kisah mereka seolah-olah ditelan zaman.
Nama-nama mereka mungkin tidak dipahat pada mercu tanda utama, tetapi pengorbanan serta titisan keringat mereka kekal menjadi asas kukuh kepada keamanan dan kedaulatan negara. Sejarah yang paling bernyawa, penuh emosi, dan menyentuh jiwa sebenarnya tersimpan di dalam ingatan, jiwa serta pengalaman peribadi mereka yang pernah berada di garis hadapan pertahanan negara.
Misi memlihara sejarah lisan negara

Atas kesedaran itu, Perpustakaan Rakyat kembali menabur bakti di Taska Taman Tugu menerusi penganjuran siri ketiganya pada 25 Julai lalu. Diadakan khas sempena memperingati Hari Pahlawan Negara, program bertajuk Perpustakaan Rakyat #3: “Di Sebalik Misi: Pengalaman Yang Tidak Terungkap daripada Veteran Kita” ini menjadi wadah terbaik untuk menghormati keberanian, pengorbanan, serta khidmat bakti insan-insan istimewa tersebut.
Program ilmiah dan komuniti ini berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan umur masyarakat untuk mendengar sendiri bait-bait kisah perkhidmatan yang belum pernah diceritakan sebelum ini daripada lima orang veteran tentera tanah air.
Di samping, memberikan penghormatan kepada para veteran, perhimpunan ini turut berfungsi sebagai peringatan tepat pada masanya tentang betapa pentingnya usaha memelihara sejarah lisan negara ini sebelum hilang ditelan waktu.
Berlatarkan persekitaran hutan bandar seluas 66 ekar di tengah-tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur, penganjuran program ini membuktikan bahawa ruang hijau awam bukan sekadar tempat rekreasi atau riadah semata-mata. Malahan, mampu menjadi pentas pembelajaran dan perhubungan komuniti yang berkesan untuk memperkukuh persefahaman, empati serta perpaduan sesama anggota masyarakat.
Selain mendengar kisah-kisah daripada para veteran, turut terdapat pameran dan jualan buku sejarah serta menghayati nilai daya tahan, tanggungjawab dan kepimpinan yang menjadi teras perkhidmatan pertahanan negara.
Menyingkap realiti operasi menyelamat

Dalam sesi di Taman Tugu itu, para hadirin diperkenalkan kepada realiti sebenar kehidupan ketenteraan yang penuh cabaran dan pengorbanan.
Berbeza daripada naratif popular atau aksi dramatik yang sering dipaparkan dalam media massa dan hiburan, kisah-kisah yang dikongsikan oleh kelima-lima veteran tersebut menyingkap pelbagai sudut perkhidmatan yang jarang diketahui oleh masyarakat umum.
Antara pengalaman yang diceritakan termasuklah cabaran getir dalam penugasan pengumpulan risikan yang memerlukan kerahsiaan tinggi, operasi menentang pemberontakan yang penuh risiko, hinggalah misi menyelamat dan penerbangan taktikal yang dijalankan di bawah tekanan ekstrem.
Kisah-kisah ini bukan sekadar penceritaan semula kronologi peristiwa sejarah semata-mata. Malah, turut mendedahkan ketabahan mental yang luar biasa, semangat kerja berpasukan yang utuh, dan keyakinan peribadi mendalam yang wajib dimiliki oleh setiap anggota Tentera Darat, Laut, mahupun Udara.
Pada saat-saat kritikal di mana setiap keputusan yang dibuat membawa akibat yang berkekalan terhadap nyawa dan keselamatan negara, para perwira tanpa nama ini membuktikan kecekalan mereka.
Bagi veteran yang kurang dikenali ini, disiplin bertindak dalam keadaan tidak menentu serta keberanian bertahan mengharungi bahaya telah menjadi rutin harian sewaktu bertugas. Pengorbanan mereka dalam pelbagai operasi ketenteraan negara sering dilakukan secara senyap, berani, dan ikhlas tanpa mengharapkan kepujian ramai.
Nilai murni dan tanggungjawab setia

Inisiatif sesi Perpustakaan Rakyat ini telah membuka mata banyak pihak mengenai nilai-nilai murni yang membentuk peribadi seorang pahlawan. Malah, kisah-kisah perjuangan mereka dapat menyuntik semangat patriotisme dalam jiwa rakyat yang mendengar untuk diteladani dalam kehidupan seharian.
Sesi perbualan bersama para veteran ini mengetengahkan disiplin tinggi yang diperlukan untuk bertindak dengan pantas serta tepat dalam keadaan yang sarat ketidakpastian. Di samping itu, keberanian untuk terus bertahan apabila berhadapan dengan bahaya maut serta rasa tanggungjawab yang amat besar terhadap sasar perkhidmatan menjadi iktibar utama kepada semua hadirin yang mendengar.
Oleh itu, apabila masyarakat mendengar secara terus pengalaman pengorbanan pejuang tanah air, sifat empati dan persefahaman kolektif akan tumbuh secara semula jadi. Ia menawarkan peluang yang jarang berlaku untuk memahami sejarah ketenteraan Malaysia melalui pengalaman langsung mereka yang menjalaninya.
Pengalaman langsung ini membolehkan orang ramai melihat melangkaui lembaran buku sejarah, sekali gus mengiktiraf nilai-nilai daya tahan, kepimpinan, dan komitmen tinggi di sebalik setiap misi yang pernah dijalankan demi mempertahankan ketenteraman awam dan kedaulatan bumi bertuah ini.
Memelihara sejarah melalui suara

Secara tidak langsung penganjuran program ini mampu menyampaikan pemahaman bahawa warisan bangsa tidak hanya terhad pada binaan konkrit, tugu mahupun sesuatu lokasi yang dijadikan tempat bersejarah.
Malah, warisan yang sebenar paling berharga sebenarnya dibawa dan dihidupkan melalui suara, emosi, dan memori mereka yang melaluinya sendiri. Melalui dialog interaktif, refleksi kendiri, dan hubungan erat yang terjalin antara veteran dan pengunjung, Taman Tugu berjaya membuktikan bagaimana warisan sejarah boleh dihargai secara lebih inklusif dan bermakna.
Pendekatan Perpustakaan Rakyat ini membawa pembelajaran sejarah ke tahap yang lebih dekat dengan hati masyarakat. Ia bukan setakat menggalakkan pengunjung rekreasi untuk mendengar, tetapi turut merenung dan terlibat secara langsung dengan kisah peribadi para pahlawan negara.
Kesannya, empati masyarakat terhadap pengorbanan warga ketenteraan dapat diperdalam, seterusnya memupuk rasa bangga dan ketaatan kepada negara.
Melalui gabungan pemeliharaan alam semula jadi dan pengongsian kisah pengorbanan para veteran, inisiatif ini berjaya menyatukan masyarakat pelbagai latar belakang, memperdalam empati terhadap warisan negara, serta mengingatkan kita semua bahawa sejarah Malaysia dibina atas keberanian dan kepimpinan insan-insan luar biasa demi kemerdekaan tanah air. -airtimes.my
