Home Pertahanan dan Keselamatan Pembekuan Peruntukan Operasi: ATM bakal kemuka justifikasi kepada PM

Pembekuan Peruntukan Operasi: ATM bakal kemuka justifikasi kepada PM

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 4 FEB – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengemukakan rayuan serta justifikasi terperinci kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan berhubung pembekuan perbelanjaan operasi (Operating Expenditure – OE) dalam masa terdekat.

Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-24, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman berkata, langkah tersebut bagi memastikan kelangsungan tugas harian dan kesiapsiagaan (readiness) ketumbukan itu tidak terjejas memandangkan OE melibatkan keperluan asas organisasi.

Menurut beliau, walaupun memahami langkah kerajaan dalam memperkemas tata kelola, namun peruntukan operasi adalah kritikal untuk membiayai aktiviti rutin termasuk logistik dan kebajikan anggota.

“Kita difahamkan bahawa perkara ini sedang di peringkat akhir. Dalam seminggu ini, kita akan membentangkan rayuan kepada Perdana Menteri untuk melepaskan sekurang-kurangnya perbelanjaan operasi yang paling penting untuk kita terus bergerak (move on),” katanya dalam sidang media selepas Majlis Sambutan Mula Tugas PAT Ke-24 hari ini.

Beliau menjelaskan, perbezaan antara perbelanjaan pembangunan (Development Expenditure – DE) dan operasi (OE) adalah ketara, di mana DE melibatkan perancangan jangka panjang yang boleh dimitigasi kemudian, manakala OE menyentuh aspek pelaksanaan tugas semasa.

“Dalam tugas operasi, terdapat banyak perkara yang bergantung kepada OE seperti bekalan minyak, catuan makan anggota, serta pergerakan aset udara dan laut untuk tugasan penghantaran. Jika ia dibekukan, ia akan memberi kesan kepada perjalanan tugas harian kita,” jelas beliau lagi.

Beliau menyatakan keyakinan bahawa keprihatinan pihak kerajaan dan Kementerian Kewangan terhadap justifikasi yang bakal dikemukakan akan membolehkan dana tersebut disalurkan semula demi kepentingan keselamatan negara.

Datuk Malek turut memaklumkan anggaran kasar keperluan OE bagi Tentera Darat adalah sekitar RM2 bilion, manakala Tentera Laut dan Tentera Udara masing-masing memerlukan sekitar RM1.5 bilion.

Terdahulu, kerajaan dilaporkan telah mengambil langkah membekukan sementara beberapa perolehan dan perbelanjaan pertahanan berikutan isu tata kelola dan integriti yang dikesan sebelum ini. – airtimes.my

KATA KUNCI : Angkatan Tentera Malaysia (ATM)Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman (PAT)Kementerian Pertahanan (MINDEF)MalaysiaPertahanan Keselamatan

Leave a Reply