Home DiskusiPerlumbaan senjata atau keperluan semasa: Menyelusuri strategi pemodenan aset ASEAN

Perlumbaan senjata atau keperluan semasa: Menyelusuri strategi pemodenan aset ASEAN

Peningkatan perolehan pertahanan di Asia Tenggara menunjukkan rantau ini sedang memodenkan keupayaan, tetapi label “perlumbaan aset” perlu digunakan dengan berhati-hati.

by Zulhaizi Rosdi
A+A-
Reset

Persoalan sama ada ASEAN kini memasuki era “perlumbaan aset” semakin kerap timbul apabila negara Asia Tenggara mempercepat pembelian pesawat tempur, kapal perang, kapal selam, radar, dron dan sistem pengawasan baharu. Dari luar, pola ini kelihatan seperti persaingan ketenteraan yang semakin ketara. Namun, jawapan yang lebih tepat tidak semudah itu.

Asia Tenggara memang sedang bergerak ke arah pemodenan pertahanan yang lebih aktif. Tetapi tidak semua pembelian aset bermaksud perlumbaan senjata. Dalam banyak kes, ia ialah usaha menggantikan platform usang, menutup jurang pengawasan, memperkukuh pertahanan wilayah dan menyesuaikan angkatan tentera dengan persekitaran keselamatan yang lebih kompleks.

SIPRI melaporkan perbelanjaan ketenteraan Asia dan Oceania meningkat 8.1 peratus pada 2025 kepada AS$681 bilion, dengan kadar pertumbuhan tahunan terbesar rantau itu sejak 2009. China pula membelanjakan anggaran AS$336 bilion, meningkat 7.4 peratus. Angka ini memberi latar besar kepada Asia Tenggara, walaupun dinamika ASEAN tidak boleh disamakan sepenuhnya dengan kuasa besar Asia Timur.

Pemodenan yang semakin sukar diabaikan

Di Asia Tenggara sendiri, tanda pemodenan sudah jelas dengan laporan berasaskan penilaian IISS menyebut perbelanjaan perolehan pertahanan serta penyelidikan dan pembangunan oleh Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam meningkat AS$2.7 bilion antara 2022 hingga 2024, mencecah AS$10.5 bilion.

Dalam masa sama, purata perbelanjaan pertahanan negara tersebut sekitar 1.5 peratus daripada KDNK pada 2024, menunjukkan peningkatan itu belum semestinya bersifat lonjakan luar biasa seperti mobilisasi perang.

Singapura bergerak melalui pendekatan jangka panjang dan berteknologi tinggi, pemerolehan F-35A sebagaimana yang dinyatakan oleh Kementerian Pertahanan Singapura merupakan sebahagian daripada strategi untuk membina armada pesawat tempur masa depan yang terdiri daripada F-35A, F-35B dan F-15SG bagi memenuhi keperluan operasi RSAF.

Ini bukan pembelian tunggal yang berdiri sendiri, tetapi sebahagian daripada peralihan berperingkat daripada aset lama kepada armada masa depan.

Indonesia pula menunjukkan corak pemodenan yang lebih luas, Dassault Aviation menyatakan tranche terakhir 18 Rafale untuk Indonesia berkuat kuasa pada Januari 2024, melengkapkan pesanan 42 pesawat di bawah kontrak 2022.

Pada masa sama, Naval Group mengumumkan kontrak dua kapal selam Scorpène Evolved untuk Indonesia sudah berkuat kuasa, dengan pembinaan dan pentauliahan di Indonesia melalui pemindahan teknologi. Thales pula menyatakan Indonesia memilih 13 radar pengawasan udara jarak jauh Ground Master 400 Alpha bersama sistem pemerintahan dan kawalan berkaitan.

Filipina menjadi contoh paling jelas bagaimana tekanan keselamatan wilayah boleh mempercepat pemodenan, IISS menyatakan program Re-Horizon 3 Filipina memperuntukkan AS$35 bilion dalam tempoh 10 tahun untuk pelbagai perolehan, selepas fasa terdahulu mengalami kelewatan akibat kekangan dana. Fokusnya termasuk keupayaan maritim, udara, pengawasan dan tindak balas terhadap cabaran keselamatan di sekitar perairan Filipina.

Malaysia pula mengambil pendekatan lebih berperingkat melalui Belanjawan 2025, iaitu kerajaan memperuntukkan RM5.8 bilion untuk penyelenggaraan, pembaikan dan perolehan aset ketenteraan baharu bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Angka ini penting kerana ia menunjukkan keperluan aset baharu tidak boleh dipisahkan daripada penyelenggaraan dan kesiapsiagaan aset sedia ada.

Indonesia memesan sebanyak 42 pesawat melalui perjanjian bernilai USD 8.1 bilion yang disepakati bersama Dassault Aviation dengan enam jet Rafale telah diserahterimakan kepada Tentara Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI AU)./Foto: Kementerian Sekretariat Negara RI

Istilah “perlumbaan” perlu dikawal

Perlumbaan senjata lazimnya membawa maksud tindakan saling membalas antara negara, apabila satu pembelian mendorong pembelian lebih besar oleh pihak lain sehingga mewujudkan kitaran persaingan keselamatan. Di Asia Tenggara, sebahagian corak itu wujud, tetapi belum cukup untuk menyatakan semua negara ASEAN sedang berlumba dalam makna yang sama.

Sebahagian besar perolehan ASEAN berpunca daripada masalah lama, banyak angkatan tentera rantau ini masih mengendalikan aset yang sudah berusia, bilangan platform yang terhad, jurang pengawasan maritim, kekurangan sistem pertahanan udara bersepadu dan keperluan menyesuaikan operasi dengan ancaman baharu seperti dron, peluru berpandu, peperangan elektronik serta aktiviti zon kelabu.

Dengan kata lain, pembelian aset bukan semata-mata tanda cita-cita kuasa tetapi ianya juga boleh menjadi pembetulan keupayaan. Negara kepulauan seperti Indonesia dan Filipina memerlukan aset maritim, pengawasan udara dan sistem tindak balas yang sesuai dengan geografi luas.

Singapura pula mengekalkan pendekatan kualitatif kerana ruang strategiknya kecil tetapi keperluan kesiapsiagaan tinggi. Malaysia perlu mengimbangi tuntutan Laut China Selatan, Selat Melaka, sempadan Sabah dan Sarawak, serta komitmen operasi harian yang berterusan.

Tekanan Laut China Selatan dan zon kelabu

Faktor yang sukar diketepikan ialah Laut China Selatan, walaupun negara ASEAN tidak mempunyai pendirian seragam terhadap semua isu, beberapa negara berdepan tekanan langsung terhadap zon ekonomi eksklusif, perikanan, laluan laut, kegiatan pengawal pantai asing dan keperluan mengekalkan kehadiran maritim.

Di sinilah aset baharu mempunyai makna yang strategik. Kapal peronda luar pesisir, korvet, pesawat rondaan maritim, radar, dron dan sistem pemerintahan serta kawalan bukan sekadar simbol kuasa. Ia menentukan keupayaan negara untuk melihat, mengesan, hadir dan bertindak secara sah di ruang maritim sendiri.

Namun, jika pembelian tidak disertai latihan, penyelenggaraan, logistik, rangkaian sensor, doktrin dan koordinasi antara agensi, aset baharu boleh menjadi beban belanjawan. Dalam konteks ini, cabaran sebenar ASEAN bukan hanya membeli lebih banyak platform, tetapi menjadikan platform itu berfungsi sebagai sistem.

Beberapa negara ASEAN berdepan tekanan langsung terhadap zon ekonomi eksklusif di Laut China Selatan./Foto: Reddit

Risiko di sebalik pemodenan

Pemodenan pertahanan mempunyai sisi positif. Ia boleh meningkatkan pencegahan, mengurangkan jurang pengawasan, memperbaiki tindak balas bencana, memperkukuh keselamatan maritim dan memberi ruang kepada industri tempatan. Tetapi ia juga membawa risiko.

Risiko pertama ialah kos kitar hayat. Harga pembelian hanya sebahagian kecil daripada nilai sebenar sesuatu aset. Pesawat, kapal, radar dan sistem digital memerlukan latihan, alat ganti, infrastruktur, naik taraf perisian, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), serta sokongan teknikal bertahun-tahun. Negara yang membeli tanpa menyediakan ekosistem sokongan boleh memiliki aset moden tetapi kesiapsiagaan rendah.

Risiko kedua ialah kebergantungan luar. Banyak negara ASEAN masih bergantung kepada pembekal asing untuk pesawat, kapal selam, radar, peluru berpandu, sistem elektronik dan alat ganti kritikal. Pemindahan teknologi boleh membantu, tetapi tidak semua perjanjian benar-benar menghasilkan kedaulatan industri. Ada pemindahan teknologi yang mendalam, ada juga yang lebih bersifat pemasangan, penyelenggaraan atau latihan terhad.

Risiko ketiga ialah penilaian strategik. Apabila satu negara meningkatkan keupayaan, negara jiran boleh mentafsirkannya sebagai isyarat persaingan walaupun niat asalnya defensif. Di sinilah diplomasi pertahanan, ketelusan belanjawan, latihan bersama dan komunikasi strategik menjadi penting untuk mengelakkan pemodenan bertukar menjadi kecurigaan.

Implikasi kepada Malaysia

Bagi Malaysia, persoalannya bukan sama ada negara perlu mengejar semua perolehan jiran. Soalan yang lebih penting ialah apakah jurang keupayaan yang paling mendesak, aset mana yang benar-benar menjawab keperluan operasi, dan bagaimana setiap pembelian menyumbang kepada kesiapsiagaan keseluruhan.

Malaysia tidak perlu meniru model Singapura, Indonesia atau Filipina secara mentah, keperluan Malaysia terikat pada geografi, belanjawan, struktur ATM, keselamatan maritim, ruang udara, sempadan darat dan hubungan diplomatik serantau. Keupayaan sebenar tidak boleh diukur melalui jumlah platform sahaja, tetapi melalui gabungan aset, manusia, latihan, logistik, penyelenggaraan, integrasi sensor dan kejelasan doktrin.

Dalam konteks itu, “perlumbaan aset” hanya berguna sebagai soalan pembuka. Jawapan yang lebih matang ialah ASEAN sedang memasuki era pemodenan pertahanan yang lebih nyata, tetapi tidak sekata. Ada negara mengejar teknologi generasi baharu, ada yang menutup jurang lama, dan ada yang cuba mengekalkan minimum kesiapsiagaan dalam keadaan fiskal yang ketat.

Penutup

ASEAN belum boleh disimpulkan secara mudah sebagai rantau yang sedang berlumba senjata. Namun, rantau ini jelas tidak lagi berada dalam fasa pemodenan perlahan seperti dahulu. Tekanan keselamatan, aset usang, Laut China Selatan, keperluan pengawasan dan perubahan teknologi memaksa negara Asia Tenggara menilai semula keupayaan masing-masing.

Perkembangan ini boleh menjadi faktor penstabil jika ia memperkukuh pencegahan, kawalan wilayah dan keselamatan maritim. Tetapi ia juga boleh menambah kecurigaan jika pembelian dibuat tanpa ketelusan, tanpa doktrin jelas dan tanpa kemampuan menyelenggara aset sepanjang hayatnya.

Maka, isu utama bukan sekadar “siapa beli apa”, isu sebenar ialah sama ada pemodenan aset ASEAN mampu menghasilkan keselamatan yang lebih stabil atau sekadar menambah senarai platform baharu dalam rantau yang semakin tegang. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply