Konflik antara Amerika Syarikat dan Iran sehingga kini masih belum menemui penyelesaian yang benar-benar muktamad.
Walaupun beberapa pengumuman mengenai gencatan senjata dan usaha perdamaian telah dibuat, ketegangan di Asia Barat masih belum reda sepenuhnya.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berulang kali menyatakan bahawa keamanan mampu dicapai dalam tempoh dua minggu.
Namun, kenyataan tersebut dilihat semakin kehilangan kredibiliti apabila konflik terus berlarutan.
Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mengisytiharkan Selat Hormuz ditutup sehingga serta melepaskan tembakan amaran ke arah kapal-kapal dagang yang tidak mendapat kelulusan.
Amerika Syarikat pula memberi amaran bahawa ancaman keselamatan di laluan perairan itu berada pada tahap yang sangat serius.
Washington turut melancarkan serangan ke atas lebih 170 sasaran ketenteraan Iran, termasuk pangkalan pesisir pantai, kemudahan telekomunikasi serta tapak peluru berpandu dan dron sebagai tindak balas terhadap serangan Iran ke atas kapal-kapal dagang.
Sebagai balasan, Iran melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah pangkalan tentera serta lokasi strategik Amerika Syarikat di Jordan, Bahrain, Kuwait dan Qatar, namun kebanyakannya berjaya dipintas.
Apa yang diperhatikan, pendekatan Trump itu lebih bersifat strategi politik atau helah berbanding pelan damai yang sebenar.
Strategi membeli masa sememangnya bukan sesuatu yang baharu dalam sejarah peperangan.
Ia sering digunakan bagi memberi ruang mengukuhkan pertahanan, menambah bekalan senjata dan menyusun semula kekuatan ketenteraan.
Pengumuman memorandum persefahaman untuk menghentikan pertempuran pada Jun lalu memberi gambaran bahawa ruang diplomasi masih terbuka.
Langkah itu bertujuan membuka laluan kepada rundingan mengenai program nuklear Iran serta isu keselamatan di Selat Hormuz.
Pasaran kewangan dan minyak dunia turut memberi reaksi positif terhadap perkembangan tersebut.
Namun begitu, optimisme itu tidak dikongsi oleh semua pihak.
Sebilangan penganalisis antarabangsa percaya keamanan yang diumumkan hanyalah bersifat sementara.
Asas pandangan tersebut adalah kedua-dua pihak sebenarnya sedang menggunakan tempoh bertenang untuk memperkukuhkan persiapan ketenteraan masing-masing.
Bekalan misil, dron dan aset pertahanan dipercayai terus dipertingkatkan sepanjang tempoh tersebut.
Pada masa sama, Israel dilihat masih menganggap program nuklear Iran sebagai ancaman utama keselamatan serantau.
Ini menyebabkan kemungkinan konflik tercetus semula masih kekal tinggi.
Perjanjian nuklear yang pernah dimeterai ketika pentadbiran Presiden Barack Obama sebelum ini juga gagal menyelesaikan pertikaian secara menyeluruh.
Penentangan Israel terhadap perjanjian tersebut akhirnya membawa kepada perubahan dasar Washington.
Dari sudut politik domestik Amerika Syarikat, Trump juga perlu mengambil kira sentimen pengundi menjelang pilihan raya separuh penggal.
Majoriti rakyat Amerika Syarikat dilihat tidak mahu negara itu terlibat dalam satu lagi peperangan berskala besar di Asia Barat.
Faktor politik dalaman ini mungkin menjadi antara sebab Washington memilih pendekatan yang lebih berhati-hati buat masa ini.
Namun, keadaan itu tidak semestinya bermaksud ancaman perang telah berakhir.
Ramai pemerhati pertahanan meramalkan konflik ini akan berlanjutan hingga ke tahun hadapan.
Ada kemungkinan operasi ketenteraan berskala besar mungkin dipertimbangkan sekiranya usaha diplomasi terus menemui jalan buntu.
Bagaimana pun, sebarang serangan darat terhadap Iran dijangka membawa kos yang amat tinggi dari segi ketenteraan, ekonomi dan politik.
Risiko kehilangan nyawa serta kesan terhadap kestabilan serantau juga tidak boleh dipandang ringan.
Oleh itu, gencatan senjata yang wujud ketika ini wajar dilihat sebagai ruang sementara dan bukannya jaminan keamanan berkekalan.
Selagi isu nuklear, kepentingan geopolitik dan persaingan kuasa di Asia Barat tidak diselesaikan secara menyeluruh, konflik Amerika Syarikat-Iran dijangka terus menjadi antara krisis paling berisiko di dunia.-airtimes.my
