98
Filem ‘Operation Dumbo Drop’ yang diterbitkan Hollywood pada tahun 1995 berkisar aksi komedi ketenteraan dengan latar belakang semasa Perang Vietnam melibatkan seekor gajah
Hakikatnya, ia berdasarkan kisah benar ‘Operation Barroom’ iaitu misi pasukan Green Beret Tentera Darat Amerika Syarikat menerbangkan seekor gajah ke sebuah kampung terpencil di Vietnam.
Misi tersebut bertujuan untuk memenangi kepercayaan penduduk tempatan, yang kerjasama mereka amat penting dalam memantau laluan bekalan musuh.
Walaupun tidak sama, tetapi elemen memenangi kepercayaan dan nilai diplomatik serupa sedang berlaku dalam isu tiga ekor gajah Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat yang kini ditempatkan di Tennoji Zoo, Osaka, Jepun.
Kisah tiga ekor haiwan ini membuka ruang perbahasan yang lebih luas daripada sekadar kebajikan haiwan.
Ia sebenarnya menyentuh lapisan diplomasi, kredibiliti negara dan tafsiran moden terhadap kedaulatan.
Gajah bukan simbol rasmi Malaysia seperti Harimau Malaya, namun gajah Asia tetap sebahagian daripada khazanah biodiversiti negara.
Dalam dunia global hari ini, hubungan antarabangsa tidak lagi terhad kepada politik dan ekonomi semata-mata.
Justeru, hidupan liar juga telah menjadi sebahagian daripada instrumen diplomasi yang halus tetapi signifikan.
Pemindahan gajah ini pada asalnya dilihat sebagai kerjasama konservasi antara institusi, namun apabila timbul persoalan kebajikan, ia secara automatik berubah menjadi isu dasar dan diplomasi.
Ini kerana setiap hidupan liar yang merentasi sempadan membawa bersama identiti negara asalnya.
Dalam konteks ini, Dara, Amoi dan Kelat bukan sekadar haiwan, tetapi representasi Malaysia di mata antarabangsa.
Dari sudut diplomasi, situasi ini menyerupai bentuk ‘soft power’ yang jarang dibincangkan secara terbuka.
China misalnya telah lama menggunakan panda sebagai alat diplomasi strategik.
Melalui pendekatan itu, haiwan menjadi simbol hubungan dua hala yang dikawal rapi melalui perjanjian ketat.
Prinsipnya jelas. Haiwan itu mungkin berada di luar negara, tetapi kawalan strategik terhadap simbol tersebut tidak dilepaskan sepenuhnya.
Setiap aspek penjagaan, pembiakan dan pemulangan ditentukan dengan jelas. Malaysia pula masih berada dalam fasa membina kerangka sedemikian.
Ketiadaan garis panduan yang kukuh boleh menjejaskan keupayaan negara untuk bertindak secara tegas.
Apabila isu timbul, respons menjadi reaktif, bukan berasaskan sistem yang telah dirancang lebih awal.
Ini memberi implikasi kepada imej Malaysia sebagai rakan kerjasama konservasi yang berautoriti.
Dari sudut kedaulatan, persoalan utama ialah sejauh mana kawalan Malaysia terhadap aset biologinya di luar negara.
Kedaulatan hari ini tidak lagi bersifat fizikal semata-mata, tetapi turut merangkumi kawalan moral dan pentadbiran.
Apabila haiwan dihantar ke luar negara, kedaulatan tidak seharusnya terhenti di sempadan geografi.
Sebaliknya, ia perlu diteruskan melalui mekanisme pemantauan dan hak membuat keputusan.
Kenyataan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, pada 29 April 2026 yang membuka ruang untuk mempertimbangkan pemulangan gajah tersebut adalah signifikan.
Ia menandakan bahawa kerajaan mula melihat isu ini sebagai sebahagian daripada tanggungjawab negara.
Lebih penting, ia memberi isyarat bahawa Malaysia tidak bersedia menjadi pemerhati pasif.
Pendekatan ini penting untuk mengekalkan kredibiliti dalam hubungan antarabangsa.
Namun, ketegasan dalam diplomasi perlu diimbangi dengan kebijaksanaan.
Malaysia perlu memastikan sebarang tindakan tidak menjejaskan hubungan dua hala dengan Jepun.
Dalam masa yang sama, kebajikan haiwan tidak boleh dikompromi atas alasan hubungan diplomatik.
Elemen perjanjian menjadi aspek paling kritikal dalam isu ini kerana tanpa klausa pemantauan, audit dan repatriasi, negara kehilangan leverage diplomatik.
Apa yang tidak diperincikan dalam perjanjian akan menjadi ruang kelemahan apabila konflik timbul.
Oleh itu, setiap kerjasama konservasi perlu disokong dengan dokumen yang jelas dan boleh dikuatkuasakan.
Isu ini juga mencerminkan keperluan kepada pendekatan WoGos dalam pengurusan hidupan liar apabila semua agensi berkaitan perlu bergerak dalam kerangka yang sama dan saling melengkapi.
Dara, Amoi dan Kelat kini menjadi simbol kepada cabaran baharu dalam hubungan antarabangsa Malaysia.
Ia menguji sama ada negara bersedia mempertahankan khazanahnya di luar sempadan.
Lebih daripada itu, ia menguji keupayaan Malaysia mentakrifkan semula kedaulatan dalam era globalisasi. Jawapan kepada isu ini akan menjadi penanda aras kepada pendekatan negara pada masa hadapan.
