126
KUALA LUMPUR, 6 MEI – Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang meneliti sebarang perubahan berhubung kontrak pembelian sistem peluru berpandu antikapal Naval Strike Missile (NSM) dari Norway.
Perolehan NSM adalah bagi melengkapkan pertahanan pada lima kapal tempur pesisir (LCS) kelas Maharaja Lela.
Ia susulan laporan yang disiarkan portal Malaysia Defence berhubung isu pembekalan tersebut melibatkan syarikat Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA).
Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamad Khaled Nordin dalam satu kenyataan menjelaskan, MINDEF sememangnya mempunyai kontrak perolehan dengan pihak KDA bagi pembekalan NSM.
Menurut beliau, pihaknya turut mengambil perhatian terhadap perubahan pendirian kerajaan Norway berkaitan kelulusan eksport pertahanan yang berpotensi memberi kesan kepada pelaksanaan kontrak tersebut.
“Kerajaan Malaysia akan menggunakan saluran diplomatik dengan Kerajaan Norway bagi mendapatkan penjelasan lanjut serta membincangkan langkah sewajarnya demi menjaga kepentingan negara,” menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, MINDEF menegaskan komitmen untuk memastikan kesiapsiagaan serta keperluan strategik pertahanan negara tidak terjejas.
Ini termasuk mengekalkan hubungan dua hala Malaysia–Norway yang telah lama terjalin.
Memetik laporan portal pertahanan tersebut, kerajaan Norway membuat keputusan menyekat penghantaran peluru berpandu NSM yang dibangunkan KDA.
Keputusan ini sekali gus menamatkan kontrak berkenaan tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada pihak Malaysia.
Perkara itu dikatakan telah dimaklumkan kepada Mohamad Khaled dalam satu pertemuan bersama pegawai kerajaan Norway pada 20 April, iaitu hari pertama pameran DSA 2026.
Kerajaan sebelum ini memeterai kontrak perolehan dua set pelancar NSM pada LIMA 2025 lalu dengan kos RM44 juta
Sistem peluru berpandu NSM sebelum ini bersaing dengan Exocet MM40 Block III sebagai calon bagi pertahanan antikapal LCS yang mana TLDM memihak kepada teknologi Norway.
