Home Pertahanan dan Keselamatan Jaga integriti, disiplin amanat PTU kepada Perajurit Muda TUDM

Jaga integriti, disiplin amanat PTU kepada Perajurit Muda TUDM

A+A-
Reset

IPOH, 19 Mei – Kerjaya sebagai anggota TUDM menuntut tahap integriti, pengorbanan serta profesionalisme yang tinggi dalam setiap tugasan yang dilaksanakan.

Justeru, setiap arahan dan amanah yang diberikan perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab kerana sebarang kecuaian boleh memberi kesan besar kepada organisasi serta keselamatan negara.

Panglima Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, cabaran keselamatan semasa yang semakin kompleks memerlukan anggota sentiasa bersedia meningkatkan keupayaan diri.

Katanya, ini termasuk aspek pengetahuan, kemahiran teknikal serta penguasaan teknologi moden yang menjadi keperluan utama dalam operasi pertahanan udara masa kini.

Tambah beliau, usaha tersebut selaras dengan pelaksanaan pelan strategik CAP 55 yang memberi penekanan kepada pembangunan modal insan TUDM yang kompeten, berdaya tahan dan berpandangan jauh.

“Selepas tamat latihan asas, para perajurit muda akan meneruskan latihan dalam bidang kepakaran dan tred masing-masing.

“Setiap cabang kepakaran dalam TUDM memainkan peranan signifikan dan saling melengkapi bagi memastikan kesiapsiagaan angkatan sentiasa berada pada tahap optimum.

“Justeru, setiap anggota baharu dianggap sebagai aset penting yang bakal menyumbang kepada kekuatan pertahanan udara negara,” ujarnya.

Demikian amanat Panglima Tentera Udara kepada 401 PJM U Siri 70/25 melibatkan 305 lelaki dan 96 wanita yang telah menamatkan latihan di Akademi Tentera Udara (ATU), semalam.

Kesemuanya telah menjalani latihan asas ketenteraan selama 25 minggu (6 bulan) bermula 1 Disember 2025.

Amanat tersebut mencerminkan harapan tinggi kepimpinan TUDM agar generasi baharu perajurit udara terus berkhidmat dengan penuh kesetiaan demi mempertahankan kedaulatan negara.

Dalam amanatnya, Panglima Tentera Udara turut menekankan kepentingan memelihara disiplin serta integriti sepanjang tempoh perkhidmatan.

Katanya, pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan perkhidmatan adalah perkara yang tidak boleh dikompromi sama sekali.

Muhamad Norazlan turut mengingatkan anggota agar menjauhi sebarang salah laku disiplin atau jenayah yang boleh mencemarkan imej perkhidmatan.

Tegas beliau, TUDM tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana anggota yang melanggar peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.

Dalam masa sama, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada semua perajurit muda udara atas kejayaan menamatkan latihan dengan cemerlang.

Beliau berharap setiap anggota menjadikan lima teras utama TUDM iaitu integriti, keberanian, kecemerlangan, setia kawan dan mengutamakan perkhidmatan sebagai panduan dalam kehidupan serta kerjaya mereka.

Penghargaan turut diberikan kepada ibu bapa dan ahli keluarga yang sentiasa memberikan sokongan, doa dan pengorbanan sepanjang tempoh latihan berlangsung.

Menurut Muhamad Norazlan, kejayaan yang diraikan tidak akan tercapai tanpa dorongan dan kepercayaan keluarga terhadap para pelatih.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Markas Pendidikan dan Latihan Udara, Akademi Tentera Udara serta barisan jurulatih yang komited membentuk anggota muda yang berkualiti dan berwibawa.

Leave a Reply