Setiap kali bercakap tentang kapal Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), pasti akan merasai kelompongan dalam penceritaan sekiranya tidak menyebut tentang satu-satunya kapal amfibia yang bertugas di lautan asia pasifik iaitu kapal USS Blue Ridge (LCC19).
Kapal USS Blue Ridge telah berkhidmat di limbungan kapal Tentera Laut Philadelphia pada 14 November 1970 dan telah bertugas sebagai kapal penyelarasan perintah dan kawalan global.
Dirasmikan pada tahun 1970, USS Blue Ridge merupakan kapal Tentera Laut AS yang kedua tertua selepas kapal USS Constitution.
Namanya diambil sempena nama pergunungan Blue Ridge di pergunungan Appalachian, wilayah timur AS.
Blue Ridge juga merupakan kapal operasi tertua dalam tentera laut dan bertugas sebagai kapal kawalan Armada Ketujuh AS.
Ianya berperanan sebagai kapal sokongan perintah, kawalan, komunikasi, komputer dan risikan kepada komander dan kakitangan Armada Ketujuh AS.
Saiz ukuran kapal adalah berukuran 194m dan ianya mampu menampung seramai 52 pegawai, 790 anggota untuk bahagian operasi kapal manakala 268 pegawai dan 1,173 anggota untuk bahagian pemerintahan (command).
Kapal ini bertanggungjawab untuk membuat rondaan dan memupuk hubungan dalam wilayah Indo-Asia Pasifik.
Blue Ridge telah menyertai pelbagai misi sukar antaranya mengambil bahagian dalam Operasi Orang Bot, sebuah misi yang dijalankan untuk menyelamatkan pelarian Vietnam di luar pantai Vietnam.
Semasa melakukan transit di Laut China Selatan, Blue Ridge ketika itu melakar sejarah baru dalam Armada Laut Tentera AS apabila menyelamatkan seramai 91 pelarian dari dua bot kecil pada 6 Oktober 1980.
Peristiwa itu sekaligus telah menganugerahkan Pingat Perkhidmatan Kemanusiaan kepada kapal USS Blue Ridge selepas berjaya menyelesaikan operasi yang diberikan.
Peristiwa ini membuktikan Blue Ridge mempunyai sejarah yang kaya di rantau Asia Pasifik.
Sejak Disember 1979, Blue Ridge telah dikerahkan ke Yokosuka, Jepun dan menjadi peneraju baharu Armada Ketujuh AS sehingga kini.
Komander Armada Ketujuh AS, Naib Laksamana Bill Merz berkata, tiada kapal yang lebih baik daripada Blue Ridge untuk menyokong Armada sebagai peneraju.
“Tahun demi tahun dia telah membolehkan operasi armada berjalan, pada masa yang sama mengambil bahagian dalam perkhidmatan bersama dan melakukan latihan bersama pelbagai negara serta menyokong operasi bantuan bencana.
Walaupun Blue Ridge semakin hari semakin dimamah usia, ianya masih menjadi kapal pertama dalam kelasnya dan merupakan salah satu kapal paling maju dari segi teknologi yang pernah dibina.
Kelengkapan yang terdapat dalam kapal Blue Ridge juga boleh dikatakan serba-serbi lengkap dan canggih.
Kapal ini dilengkapi dengan beberapa persenjataan seperti 2 laras meriam CIWS, 2 laras meriam 25mm Bushmaster cannons dan 8 laras mesingan 12.77mm M2 Browning.
Blue Ridge turut membawa dua buah helikopter pengangkut MH-60S Seahawk yang berfungsi sebagai Anti-Surface Warfare (ASW), sokongan tempur, bantuan bencana kemanusiaan, mencari dan menyelamat tempur, pemindahan perubatan aero, SPECWAR dan tindak balas lombong udara organik.
Walau usianya sudah lebih lima dekad, Blue Ridge kekal teguh di lautan pasifik dalam memberikan peranan dan sokongan berterusan demi menjaga keselamatan di rantau yang telah berkembang sejak 50 tahun lalu.