Home DiskusiKonsep “Loyal Wingman”: Revolusi baharu operasi kuasa udara

Konsep “Loyal Wingman”: Revolusi baharu operasi kuasa udara

by Zulhaizi Rosdi
A+A-
Reset

Jika dahulu pesawat pejuang menjadi tulang belakang utama kuasa udara sesebuah negara, hari ini muncul konsep baharu yang semakin mendapat perhatian banyak tentera udara dunia. Konsep yang dikenali sebagai Loyal Wingman ini membawa idea bahawa pesawat pejuang tidak lagi beroperasi secara bersendirian, sebaliknya ditemani oleh dron tempur tanpa juruterbang yang bertindak sebagai pengiring di udara.

Dalam konsep ini, dron direka untuk terbang bersama pesawat pejuang berawak sebagai sebahagian daripada satu formasi operasi. Pesawat pejuang akan berfungsi sebagai platform kawalan utama, manakala dron menjalankan pelbagai tugas yang menyokong misi tersebut.

Pendekatan ini memberi kelebihan taktikal kerana pesawat berawak boleh mengawal beberapa dron dalam satu masa, sekali gus meningkatkan jumlah aset yang terlibat dalam operasi udara tanpa memerlukan lebih ramai juruterbang.

Antara contoh pembangunan dron dalam konsep ini ialah Boeing MQ-28 Ghost Bat yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan Boeing. Dron ini direka untuk beroperasi bersama pesawat pejuang moden dan mampu melaksanakan pelbagai misi sokongan di udara. Selain itu, syarikat Kratos Defense & Security Solutions turut membangunkan dron tempur dikenali sebagai Kratos XQ-58 Valkyrie yang mempunyai keupayaan hampir sama.

Boeing MQ-28 Ghost Bat adalah Loyal Wingman pertama dimiliki Australia./Foto: Boeing

Dron dalam konsep Loyal Wingman bukan sekadar terbang sebagai pengiring, ia juga boleh dilengkapi dengan pelbagai sistem seperti sensor pengawasan, peralatan peperangan elektronik dan juga senjata seperti peluru berpandu. Dengan kemampuan ini, dron boleh memainkan beberapa peranan penting dalam satu operasi.

Antaranya termasuk melakukan tinjauan awal di kawasan sasaran, mengesan sistem pertahanan udara musuh, serta membantu pesawat pejuang mengenal pasti ancaman dengan lebih cepat.

Dalam beberapa situasi, dron juga boleh digunakan untuk melaksanakan serangan terhadap sasaran tertentu, sebagai contoh dron boleh membawa peluru berpandu atau bom berpandu bagi menyerang sasaran bernilai tinggi. Pendekatan ini memberi kelebihan kerana risiko kepada juruterbang dapat dikurangkan dengan ketara. Jika dron ditembak jatuh, kerugian yang ditanggung tidak melibatkan kehilangan nyawa manusia.

Aspek keselamatan juruterbang merupakan antara faktor utama mengapa konsep Loyal Wingman semakin mendapat perhatian dalam peperangan moden, ancaman terhadap pesawat pejuang semakin kompleks. Sistem pertahanan udara jarak jauh, radar moden dan peluru berpandu darat ke udara mampu mengesan serta menyerang pesawat dalam masa yang singkat.

F-35 Lightning II atau F-22 Raptor yang memerlukan perbelanjaan yang sangat tinggi untuk dibangunkan dan diselenggara menjadikan penggunaan dron sebagai aset utama./Foto: U.S Air Force

Oleh itu, penggunaan dron sebagai lapisan pertama dalam operasi boleh membantu mengurangkan risiko kepada pesawat berawak.

Selain faktor keselamatan, kos pembangunan dan operasi juga memainkan peranan penting, pesawat pejuang moden seperti F-35 Lightning II atau F-22 Raptor memerlukan perbelanjaan yang sangat tinggi untuk dibangunkan dan diselenggara.

Kos sebuah pesawat pejuang boleh mencecah ratusan juta dolar, belum termasuk kos latihan juruterbang dan penyelenggaraan jangka panjang.

Sebaliknya, dron tempur dalam konsep Loyal Wingman direka dengan kos yang lebih rendah berbanding pesawat pejuang sebenar. Walaupun keupayaannya tidak sepenuhnya menyamai pesawat tempur berawak, ia masih mampu melaksanakan pelbagai tugas penting dalam operasi udara. Dengan kos yang lebih rendah, tentera udara berpotensi memiliki lebih banyak aset bagi menyokong operasi mereka.

Kratos XQ-58 Valkyrie ialah dron yang boleh mengiringi pesawat kru, memanjangkan jarak penderiaan dan menghantar senjata dari jarak yang sukar./Foto: U.S Air Force

Konsep ini juga memberi fleksibiliti dalam perancangan misi, sebuah pesawat pejuang boleh mengawal beberapa dron dalam satu operasi, sekali gus meningkatkan jumlah platform yang berada di udara pada satu masa. Pendekatan ini boleh memberi kelebihan taktikal kerana pihak lawan perlu berhadapan dengan lebih banyak sasaran dalam satu pertempuran udara.

Selain itu, perkembangan kecerdasan buatan turut memainkan peranan dalam menjayakan konsep Loyal Wingman. Teknologi ini membolehkan dron beroperasi secara separa autonomi dengan tahap koordinasi yang tinggi bersama pesawat pejuang. Dalam beberapa situasi, dron mampu membuat keputusan taktikal tertentu berdasarkan maklumat yang diterima daripada sensor dan sistem rangkaian data.

Perkembangan ini menunjukkan bahawa masa depan peperangan udara mungkin akan berubah secara ketara. Jika sebelum ini kekuatan tentera udara diukur melalui jumlah pesawat pejuang yang dimiliki, pada masa hadapan faktor seperti integrasi dron, rangkaian data dan kecerdasan buatan mungkin menjadi penentu sebenar kelebihan di medan udara.

Apa yang pasti, perkembangan teknologi dron tempur ini sedang membuka lembaran baharu dalam evolusi kuasa udara moden. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply