Perkembangan teknologi dron tempur dalam beberapa tahun kebelakangan ini membuka ruang baharu dalam perancangan pertahanan udara. Konsep Loyal Wingman yang menggabungkan pesawat pejuang berawak dengan dron tempur tanpa juruterbang kini semakin mendapat perhatian banyak negara.
Persoalannya, adakah konsep ini hanya sesuai untuk kuasa besar ketenteraan atau ia juga berpotensi dimanfaatkan oleh negara sederhana seperti Malaysia yang mempunyai sumber pertahanan yang lebih terhad.
Dalam dunia ketenteraan moden, kekuatan tentera udara sering dikaitkan dengan jumlah pesawat pejuang yang dimiliki. Namun realitinya, kos pembangunan, pembelian dan penyelenggaraan pesawat tempur moden semakin meningkat dari tahun ke tahun.
Pesawat generasi baharu seperti F-35 Lightning II memerlukan pelaburan yang sangat besar bukan sahaja dari segi pembelian, malah melibatkan kos latihan juruterbang, infrastruktur sokongan dan penyelenggaraan jangka panjang.
Keadaan ini memberi cabaran kepada banyak negara sederhana yang mempunyai keperluan pertahanan yang tinggi tetapi berhadapan dengan kekangan peruntukan. Dalam situasi seperti ini, konsep Loyal Wingman dilihat berpotensi menjadi alternatif yang lebih praktikal. Dengan penggunaan dron tempur sebagai pengiring pesawat pejuang, tentera udara boleh meningkatkan keupayaan operasi tanpa perlu menambah jumlah pesawat berawak secara besar besaran.

Boeing MQ-28 Ghost Bat milik Australia./Foto: Commonwealth of Australia
Konsep ini membolehkan sebuah pesawat pejuang mengawal beberapa dron dalam satu masa, dron tersebut boleh dilengkapi dengan sensor pengawasan, sistem peperangan elektronik atau senjata seperti peluru berpandu. Dengan kemampuan ini, dron boleh melaksanakan pelbagai tugas seperti pengumpulan maklumat, pengesanan ancaman dan juga serangan terhadap sasaran tertentu.
Pendekatan ini secara tidak langsung meningkatkan jumlah platform yang terlibat dalam satu operasi udara. Antara dron yang dibangunkan berasaskan konsep ini termasuk Boeing MQ-28 Ghost Bat yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan Boeing serta Kratos XQ-58 Valkyrie yang dibangunkan oleh Kratos Defense & Security Solutions. Kedua dua dron ini direka untuk beroperasi bersama pesawat pejuang dan menyokong pelbagai jenis misi di udara.
Bagi negara sederhana, salah satu kelebihan utama konsep Loyal Wingman ialah kos pembangunannya yang lebih rendah berbanding pesawat pejuang sebenar. Walaupun dron tempur masih memerlukan pelaburan yang besar, kosnya secara relatif lebih rendah jika dibandingkan dengan pesawat pejuang moden. Ini membolehkan sesebuah negara meningkatkan jumlah aset udara tanpa perlu menanggung beban kewangan yang terlalu tinggi.
Dalam konteks Malaysia, konsep ini juga mempunyai potensi untuk menyokong keperluan operasi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Pada masa ini, kekuatan pesawat tempur negara bergantung kepada beberapa platform utama seperti Sukhoi Su-30MKM, Boeing F/A-18D Hornet serta pesawat latihan tempur ringan KAI FA-50 yang bakal menyertai perkhidmatan dalam beberapa tahun akan datang.

Pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM yang dioperasikan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) merupakan tonggak utama keupayaan pertahanan ruang udara negara./Foto: Airtimes/Zulhaizi
Walaupun pesawat ini mempunyai keupayaan yang signifikan, jumlahnya masih terhad untuk meliputi keseluruhan ruang udara negara yang luas.
Malaysia berdepan cabaran geografi yang unik dengan kawasan maritim yang luas melibatkan Laut China Selatan serta perairan Sabah dan Sarawak. Dalam situasi ini, penggunaan dron pengiring berkonsepkan “Loyal Wingman” boleh membantu memperluaskan keupayaan pemantauan dan operasi udara tanpa memerlukan lebih banyak pesawat pejuang berawak.
Dron boleh digunakan untuk menjalankan misi pengawasan, pengumpulan maklumat serta mengesan ancaman lebih awal sebelum pesawat pejuang melaksanakan tindakan lanjut.
Selain itu, penggunaan dron juga dapat mengurangkan risiko terhadap juruterbang. Dalam peperangan moden, ancaman daripada sistem pertahanan udara musuh semakin canggih. Peluru berpandu darat ke udara yang dilengkapi radar moden mampu mengesan serta menyerang pesawat dalam jarak yang jauh.
Dalam keadaan ini, dron boleh digunakan sebagai platform pertama yang memasuki kawasan berisiko tinggi bagi mengesan ancaman atau melaksanakan serangan awal.

Konsep “Loyal Wingman” dilihat berpotensi sebagai dron tempur dan pengiring pesawat pejuang, dengan tentera udara boleh meningkatkan keupayaan operasi tanpa perlu menambah jumlah pesawat berawak secara besar besaran./Foto: U.S Air Force
Namun begitu, pelaksanaan konsep Loyal Wingman juga bukan tanpa cabaran. Antara cabaran utama ialah keperluan kepada sistem rangkaian data yang kukuh bagi memastikan komunikasi antara pesawat pejuang dan dron dapat dilakukan secara selamat dan berkesan. Tanpa rangkaian komunikasi yang stabil, koordinasi antara platform berawak dan tanpa juruterbang boleh terjejas.
Selain itu, integrasi teknologi ini juga memerlukan tahap kepakaran teknikal yang tinggi. Sistem kawalan dron, perisian operasi serta penggunaan kecerdasan buatan memerlukan pelaburan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan. Bagi Malaysia, pembangunan keupayaan ini mungkin memerlukan kerjasama dengan industri pertahanan tempatan serta rakan strategik luar negara.
Walaupun terdapat beberapa kekangan, potensi konsep Loyal Wingman untuk negara sederhana tetap signifikan. Dalam era peperangan berasaskan teknologi, keupayaan untuk menggabungkan pesawat pejuang dengan dron tempur boleh menjadi pengganda kuasa yang penting. Ia bukan sahaja meningkatkan keupayaan operasi udara, malah memberi fleksibiliti yang lebih besar dalam merancang strategi pertahanan.
Melihat kepada perkembangan teknologi semasa, konsep Loyal Wingman berkemungkinan akan menjadi sebahagian daripada struktur operasi tentera udara pada masa hadapan. Bagi Malaysia, penerokaan konsep ini boleh menjadi satu langkah penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan udara negara tanpa bergantung sepenuhnya kepada pembelian pesawat pejuang baharu yang memerlukan kos yang sangat tinggi.
Dalam jangka panjang, gabungan antara pesawat berawak dan dron tempur mungkin menjadi salah satu pendekatan strategik bagi memastikan ruang udara negara terus terpelihara.-airtimes.my



