Home Teknologi PertahananAdakah Boeing F-47 bakal menjadi pengganti kepada F-22 Raptor?

Adakah Boeing F-47 bakal menjadi pengganti kepada F-22 Raptor?

by Zulfadhli Azmie
A+A-
Reset

Selama lebih dua dekad, F-22 Raptor berdiri sebagai simbol keunggulan udara mutlak Amerika Syarikat. Ia hadir tanpa pencabar sebenar, senyap di radar dan digeruni di langit.

Namun seperti semua teknologi ketenteraan, masa akhirnya tetap tiba. Kini, perhatian dunia pertahanan mula beralih kepada sebuah platform baharu yang diberi nama Boeing F-47, calon utama untuk meneruskan legasi dominasi udara Amerika dalam era yang jauh lebih mencabar.

Pesawat ini dibangunkan di bawah program Next Generation Air Dominance (NGAD), satu inisiatif yang mencerminkan perubahan cara Amerika Syarikat melihat peperangan udara.

F-47 bukan sekadar projek membina jet pejuang baharu, sebaliknya usaha menyusun semula keseluruhan konsep pertempuran udara bagi menghadapi ancaman masa hadapan yang semakin kompleks dan tidak menentu.

Revolusi reka bentuk dan teknologi baharu

Sama seperti F-22 yang dilahirkan untuk menewaskan musuh tanpa disedari, platform F-47 juga dirangka untuk mengekalkan tahap halimunan yang lebih berkesan dalam persekitaran radar moden yang semakin canggih.

Pesawat generasi ke-6 ini dijangka akan dilengkapi dengan teknologi halimunan jalur lebar (Broadband stealth) yang menyebabkan ia sukar untuk dikesan oleh radar musuh.

Dari segi fizikal, pesawat masa hadapan ini membawa revolusi reka bentuk yang ketara dengan bentuk badan yang lebih licin dan tajam. Ianya berkemungkinan besar dibina tanpa ekor penstabil menegak bagi memaksimumkan ciri halimunan pada tahap tertinggi.

Selain itu, platform F-47 ini juga bakal dilengkapi dengan enjin adaptif (Next generation adaptive propulsion) yang mampu mengubah konfigurasi aliran udara mengikut keperluan misi. Keupayaan teknologi baharu ini dijangka mampu mencapai kelajuan melebihi Mach 2 dengan jarak penerbangan sehingga 1200 mil atau 1900 km.

Lebih menarik, F-47 ini dikatakan bukan lagi beroperasi bersendirian. Ia direka sebagai pusat kawalan di udara, memimpin beberapa pesawat tanpa pemandu yang bertindak sebagai pengiring.

Dron ini dikenali sebagai Pesawat Tempur Kolaboratif (Collaborative Combat Aircraft atau CCA) yang bertindak sebagai pengganda kuasa. Keupayaan ini membolehkan juruterbang manusia menguruskan medan perang dari jarak selamat sementara dron melaksanakan tugasan berisiko tinggi.

Lebih daripada sekadar jet pejuang, Boeing F-47 adalah bukti teknologi ketenteraan masa hadapan yang bakal menentukan siapa pemerintah sebenar ruang angkasa. Foto: U.S Air Force

2028 kemunculan pertama di udara

Kini proses pembangunan F-47 sedang giat dilakukan melalui teknik kejuruteraan digital dan penggunaan prototaip eksperimen. Teknik tersebut telah membantu mengumpul data yang diperlukan melalui ratusan jam penerbangan ujian secara simulasi dan fizikal.

Perkara ini disahkan dalam kenyataan rasmi Ketua Turus USAF, Jeneral David W. Allvin, yang mengatakan bahawa kerangka pesawat pertama kini sudah mula dibina oleh pihak Boeing. Selain itu, sasaran utama program ini adalah untuk menyaksikan penerbangan sulung pesawat generasi keenam tersebut pada tahun 2028 nanti.

Dengan pelaburan besar telah disalurkan bagi membina fasiliti pemasangan khas untuk memastikan pengeluaran pesawat ini menepati jadual yang ditetapkan. Kepantasan pembangunan ini amat kritikal kerana AS perlu memastikan tiada jurang keupayaan berlaku semasa ancaman global semakin meningkat.

Walaupun kos setiap unit F-47 dianggarkan mencecah 300 juta dolar, keupayaan adaptif sistemnya dianggap sebagai pelaburan jangka panjang. Ini dilihat jauh lebih menjimatkan berbanding kos penyelenggaraan platform lama yang semakin meningkat setiap tahun.

Persaraan F-22 Raptor

Persoalan besar yang sering timbul adalah mengapa F-22 Raptor perlu disarakan sedangkan ia dikatakan mendominasi ruang udara berbanding pesawat pejuang yang lain. Namun hakikatnya, seni bina elektronik dan kerangka Raptor yang direka pada era 80-an mula mencapai had pemodenannya.

Masalah seperti kos penyelenggaraan yang melambung tinggi dan kesukaran untuk mengintegrasikan teknologi pautan data (Data link) moden menjadikan F-22 semakin sukar untuk beroperasi dalam rangkaian pertempuran masa hadapan yang serba digital.

Oleh itu, USAF merancang untuk mula menghentikan perkhidmatan F-22 secara berperingkat menjelang tahun 2030.

Maka, pembinaan F-47 ini dilihat sebagai pengganti yang mampu mengambil alih tugas tersebut dengan kelebihan radius tempur yang jauh lebih besar. Kelebihan radius tempur ini dijangka hampir dua kali ganda berbanding keupayaan yang dimiliki oleh Raptor ketika ini.

Selain itu, jarak operasi yang jauh ini sangat penting kerana pangkalan udara masa hadapan mungkin terletak lebih jauh dari zon konflik. Langkah ini adalah bagi mengelakkan aset berharga tersebut daripada menjadi mangsa serangan peluru berpandu jarak jauh musuh.

Legasi Raptor kini menghampiri penghujungnya, bakal memberi laluan kepada pesawat baharu sebagai tunjang baharu kekuatan udara Amerika Syarikat. Foto: U.S. Air Force

Geopolitik Pasifik

Fokus utama AS dalam pembangunan F-47 ini adalah untuk menangani cabaran keselamatan di rantau Pasifik yang semakin mencabar. Dengan Geografi Pasifik yang luas, AS memerlukan pesawat yang mempunyai ketahanan terbang tinggi tanpa kerap bergantung kepada pesawat tangki minyak.

Selain itu, pesawat tangki minyak sering dianggap sebagai titik lemah kerana ia mudah terdedah kepada serangan udara musuh.

Maka, keupayaan pesawat generasi keenam ini untuk menembus masuk ke dalam ruang udara yang dikawal ketat menjadikannya senjata strategik. Ia direka khusus untuk menembusi zon penangkisan kawasan (Anti Access atau Area Denial) pihak lawan.

Dalam konteks keselamatan global pula, kehadiran aset baharu ini bukan sekadar jet pejuang malah ia menjadi simbol pencegahan (Deterrence). F-47 dilihat bakal mampu menghalang sebarang percubaan untuk mengubah status quo di rantau yang sedang bergolak tersebut.

Dengan keupayaan untuk melancarkan serangan jarak jauh dan peperangan elektronik yang canggih, pesawat ini bakal memberikan kelebihan mutlak kepada AS. Ia memastikan bahawa pihak tentera kekal mempunyai akses ke mana mana zon konflik yang dipertikaikan tanpa sebarang halangan besar.

Pengekalan kuasa udara AS

Secara keseluruhannya, pembangunan Boeing F-47 ini mewakili anjakan paradigma dalam doktrin peperangan udara moden. Ia bukan lagi tentang siapa yang mempunyai juruterbang paling handal dalam pertempuran jarak dekat (Dogfight) semata mata.

Namun ia lebih kepada siapa yang mempunyai teknologi ketenteraan yang paling unggul di medan perang. Dengan integrasi AI dan kawalan dron, aset ini dijangka bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai pelindung ruang angkasa masa hadapan.

Oleh itu, keberhasilan program ini akan menjadi penentu sama ada AS mampu mengekalkan statusnya sebagai kuasa udara nombor satu dunia atau sebaliknya.-airtimes.my

#AirTimes #TeknologiPertahanan #BoeingF47 #F22Raptor #NextGenAirDominance #USAF #Boeing

Related Articles

Leave a Reply