FLORIDA, 16 Mei – Sebuah jet pejuang stealth F-22 Raptor milik Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) terhempas ketika menjalani latihan.
Pihak USAF dalam satu kenyataan berkata, kejadian berlaku pada hari Jumaat dengan melibatkan sebuah jet pejuang dari 43rd Fighter Squadron yang sedang melakukan penerbangan latihan rutin. Lokasi kejadian adalah 12 timur laut dari Pangkalan Udara Eglin.
“F-22 dari 43rd Fighter Squadron yang berpangkalan di Eglin telah terhempas di kawasan latihan dan ujian,
“Juruterbang berjaya menyelamatkan diri dan dihantar ke hospital tentera. Beliau dilaporkan dalam keadaan stabil,” kata USAF dalam satu kenyataan.
Menurutnya lagi, kawasan terhempas telah dikawal dan tiada sebarang kemalangan jiwa serta kerosakan harta benda awam dilaporkan.
Insiden kini sedang disiasat oleh pihak USAF.
F-22 Raptor merupakan jet pejuang generasi ke-5 keluaran Lockheed Martin. Ia mula diperkenalkan dalam perkhidmatan USAF pada tahun 2005.
43rd Fighter Squadron merupakan salah satu skuadron yang mengoperasikan F-22 Raptor dan sebelum ini berpangkalan di Pangkalan Udara Tyndall, Florida.
Pengoperasian F-22 oleh skuadron ini kemudiannya dipindahkan ke Eglin selepas dibadai taufan Michael pada 2018. Bencana alam terbabit menyebabkan beberapa buah Raptor di Tyndall mengalami kerosakan teruk.
Menurut Lockheed Martin, kira-kira 55 buah F-22 ditempatkan di Tyndall yang merupakan 30 peratus dari jumlah keseluruhan Raptor yang dioperasikan oleh USAF.
Sebanyak 187 buah F-22 dihasilkan oleh Lockheed Martin sebelum pengeluarannya ditamatkan pada tahun 2011.