Hari ini secara rasmi jawatan tertinggi dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diisi apabila ia digalas oleh Jeneral Datuk Haji Malek Razak Sulaiman sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-24.
Malek Razak dipakaikan lencana pangkat jeneral empat bintang dan menerima tongkat kuasa lambang sebagai pemimpin utama ATM.
Ia bukan sekadar simbol peralihan kepimpinan, tetapi menandakan amanah besar yang perlu digalas dalam landskap keselamatan dan tadbir urus yang semakin mencabar.
Jawatan terakhir beliau sebelum pelantikan ini ialah Panglima Medan Barat Tentera Darat.
Pelantikan Malek Razak melengkapkan barisan tertinggi kepimpinan ATM dalam satu fasa penting pembaharuan institusi pertahanan negara.
Tidak lain, sangat jelas bahawa pelantikan beliau hadir dengan cabaran dan tanggungjawab untuk memperkukuh integriti, tadbir urus, dan reputasi ATM.
Fokus utama adalah memulihkan imej ATM dalam suasana mencabar serta mengatasi isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Jawatan tertinggi dalam ATM bukan sekadar kemuncak kerjaya ketenteraan, sebaliknya satu amanah strategik yang menuntut tahap kebertanggungjawaban tertinggi.
Dalam konteks ini, pengalaman Malek Razak sebagai Panglima Medan Barat Tentera Darat sebelum pelantikan dilihat sebagai aset penting, khususnya dalam memahami cabaran operasi, disiplin pasukan dan keperluan kepimpinan berteras nilai.
Dua cabang perkhidmatan lain pula diterajui Jeneral Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan Aris, 59, (Panglima TUDM) dan Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain, 58 (Panglima TLDM).
Zulhelmy sebelum ini juga memangku tugas PAT berkuat kuasa Disember 2025 berikutan persaraan PAT terdahulu.
Muhamad Norazlan atau ‘call sign’ Giro dalam kalangan juruterbang TUDM berpengalaman menerbangkan pesawat pejuang seperti MiG-29N/UB dan Sukhoi 30MKM.
Beliau juga adalah bekas pegawai memerintah skuadron Sukhoi, menjadi Panglima Operasi Udara (2022) dan Timbalan Panglima Tentera Udara (2022-2025).
Zulhelmy pula menempuh perjalanan panjang dalam bidang pertahanan maritim terutama dalam bidang kapal selam selepas berjaya memperoleh kepakaran pada tahun 1993 di Platypus, Australia.
Antara pencapaian penting beliau adalah membawa pulang kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman dari Perancis pada 2009 serta memegang jawatan utama seperti Panglima Wilayah Laut 1 dan Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional.
ATM kini berdepan persepsi awam yang semakin kritikal, termasuk isu berkaitan ketelusan, pengurusan aset pertahanan, serta dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Justeru, pelantikan ini membawa harapan agar kepimpinan baharu dapat memacu perubahan budaya organisasi yang lebih tegas terhadap salah laku, tanpa kompromi terhadap prinsip integriti.
MINDEF secara konsisten menegaskan bahawa integriti, akauntabiliti dan tadbir urus bersih merupakan teras utama ekosistem pertahanan negara.
Justeru, pelantikan Panglima ATM yang baharu ini dilihat selari dengan usaha kementerian untuk menutup kelompongan tadbir urus melalui tindakan lebih drastik.
Ini termasuk pemantauan dalaman yang lebih berkesan, pematuhan prosedur perolehan, serta pengukuhan sistem semak dan imbang.
Kepercayaan rakyat terhadap ATM sebagai benteng keselamatan negara tidak boleh dibina hanya melalui kekuatan ketenteraan, tetapi juga melalui ketelusan dalam membuat keputusan.
Ia termasuklah keadilan dalam kepimpinan dan kejujuran dalam pengurusan sumber awam.
Pelantikan Panglima ATM ini turut melengkapkan penyusunan perjawatan kanan ATM yang sebelum ini menyaksikan beberapa perubahan penting.
Antaranya pelantikan Jeneral Datuk Azhan Md Othman sebagai Panglima Tentera Darat (PTD) ke-31 berkuat kuasa 1 Januari 2026, selaras keputusan Majlis Angkatan Tentera ke-631.
Dalam masa yang sama, MINDEF mengumumkan pelantikan empat pegawai kanan ATM berstatus jeneral tiga bintang bagi mengisi jawatan strategik.
Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhammad Huzaimi Sabri dilantik sebagai Ketua Staf Markas ATM, jawatan kedua tertinggi selepas Panglima ATM.
Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim pula dilantik sebagai Panglima Angkatan Bersama (PAB), manakala penyandang terdahulu, Leftenan Jeneral Datuk Zahani Zainal Abidin, dilantik sebagai Ketua Eksekutif Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS).
Pelantikan Mejar Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad sebagai Timbalan Panglima Tentera Darat, selepas dinaikkan ke pangkat Leftenan Jeneral, melengkapkan lagi struktur kepimpinan yang diharap mampu berfungsi secara kolektif dan berintegriti.
Bagi warga ATM, kepimpinan baharu ini diharapkan dapat membina budaya organisasi yang lebih profesional, telus dan adil, di mana prestasi dan integriti menjadi asas utama kenaikan pangkat dan penugasan.
Bagi rakyat pula, harapan lebih besar diletakkan agar ATM kekal sebagai institusi yang bebas daripada pengaruh politik sempit, rasuah dan salah guna kuasa.
Pelantikan ini bukan penamat kepada proses reformasi, sebaliknya permulaan kepada ujian sebenar kepimpinan.
Dalam era ketidaktentuan keselamatan global dan cabaran dalaman yang kompleks, ATM memerlukan lebih daripada sekadar kekuatan senjata.
Ia memerlukan kepimpinan berprinsip, sistem tadbir urus yang kukuh dan komitmen jitu terhadap amanah rakyat.
Pelantikan kepimpinan baharu ini adalah peluang dan juga tanggungjawab besar untuk membuktikan bahawa reformasi institusi bukan sekadar retorik, tetapi satu realiti yang diterjemahkan melalui tindakan.-airtimes.my
#AirTimes #PertahananKeselamatan #MINDEF #ATM #Malaysia
