Home Semasa Rusuhan Bangladesh: Rakyat Malaysia termasuk pelajar dibawa pulang esok

Rusuhan Bangladesh: Rakyat Malaysia termasuk pelajar dibawa pulang esok

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 22 Jul – Kerajaan akan mengaktifkan pelan evakuasi bagi membawa semua pelajar, pekerja dan rakyat Malaysia di Bangladesh untuk pulang ke tanah air.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia susulan situasi rusuhan yang kian memuncak di negara itu.

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi tadi sudah memberi ‘lampu hijau’ supaya pelan evakuasi digerakkan segera.

“Seperti mana kita tahu situasi keselamatan di sana tidak berapa baik dan penilaian kita buat ketika ini dan kita mencapai kata putus bahawa pelan evakuasi perlu digerakkan,

“Kita akan bawa balik pelajar kita di Bangladesh dan juga warga Malaysia yang kerja di sana serta kaum keluarga petugas di kedutaan kita,” katanya selepas melakukan pertemuan dengan wakil ibu bapa pelajar yang masih terperangkap di Bangladesh, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, seramai 192 rakyat Malaysia masih berada di Bangladesh yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka.

Ia terdiri daripada 124 pelajar, 10 keluarga kakitangan kedutaan dan baki 58 orang bukan pelajar.

Jelasnya, kesemua mereka akan dibawa pulang menaiki pesawat AirAsia yang berkapasiti 350 orang. Pesawat itu dijadual mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal di Dhaka pada jam 10 pagi waktu tempatan.

“Kita bawa pesawat besar sikit, ambil kira juga rakyat Malaysia yang tidak berada dalam radar kita, yang mahu ikut sama pulang,

“Kita juga dapati ada beberapa orang juruterbang rakyat Malaysia yang bertugas di sana, yang ada keluarga serta mohon untuk pulang bersama. Jadi kami minta pihak AirAsia hantar pesawat ‘wide body’ ke sana,” jelasnya lagi.

Tambah Mohamad, buat masa ini, kedutaan sedang membawa pelajar dan rakyat terjejas ke bangunan kedutaan sebelum semuanya dibawa balik ke Malaysia.

Dalam masa yang sama, beliau turut berharap ahli keluarga pelajar yang berada di sana untuk kekal tenang dan menegaskan pihaknya sedang berusaha untuk menyelsaikan masalah tersebut.-airtimes.my

#semasa #Malaysia #Bangladesh #rusuhan #airtimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?