Home PolitikBarisan Nasional Rosni letak jawatan Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN

Rosni letak jawatan Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Rosni Sohar mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengurusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), semalam.

Beliau yang juga Setiausaha Wanita UMNO Malaysia memaklumkan, keputusan itu dibuat susulan peletakan jawatan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad sebagai Menteri Pengajian Tinggi.

“Saya ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada Noraini kerana memberi peluang untuk saya berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN,

“Maka saya dengan ini meletakkan jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengurusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional mulai 7hb Ogos 2021,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Rosni berkata, langkah yang diambil itu adalah sejajar sebagaimana diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 3 Ogos lepas dan beliau sebagai MKT setia dan patuh atas ketetapan yang dibuat oleh parti.

Menurutnya, UMNO merupakan parti keramat yang memperjuang dan mendukung titah Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan seperti yang termaktub dalam asas serta tujuan UMNO mengikut Fasal 3.

Pada masa yang sama, Rosni turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh kakitangan PTPTN atas kerjasama yang baik sepanjang perkhidmatan beliau.

Pada Jumaat, Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong meletak jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi berkuat kuasa serta merta.

Katanya, sebagai Ketua Wanita UMNO, beliau akur dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada 3 Ogos lalu yang menarik sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply