Home PolitikBarisan Nasional UMNO mahu teruskan usaha pembelaan terhadap Najib

UMNO mahu teruskan usaha pembelaan terhadap Najib

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 3 Feb – UMNO akan tetap meneruskan usaha mendapatkan pembelaan terhadap bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, keputusan itu dibuat sesuai dengan laras undang-undang negara, di samping berpegang kepada keputusan Perhimpunan Agung UMNO yang mahukan usaha pembelaan terhadap Najib.

“UMNO mengambil maklum tentang keputusan Lembaga Pengampunan berhubung permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,

“Kita menghormati keputusan dan hak mutlak yang telah diambil oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,

“Sementara kita mendukung Perlembagaan Persekutuan, UMNO terkesan dan bersedih dengan keputusan tersebut,” menurut MKT UMNO dalam kenyataan pada Sabtu.

MKT UMNO turut menegaskan, pembelaan terhadap bekas Perdana Menteri itu dibuat kerana merasakan beliau tidak mendapat keadilan seawal proses perbicaraan.

Justeru, UMNO berharap atas prinsip keadilan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bersama-sama menjunjung semangat ini.

Terdahulu, satu Mesyuarat Khas MKT UMNO diadakan susulan keputusan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

Mesyuarat khas itu dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan dihadiri pemimpin atasan parti.

Najib yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang, akan dibebaskan lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2028.

Ia susulan keputusan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 pada 29 Januari lalu untuk meringankan hukuman beliau.

Urusetia Lembaga Pengampunan itu turut memaklumkan, denda yang perlu dibayar Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta, selain hukuman penjara ke atas Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada 6 tahun.

Najib, 70, yang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan Yang di-Pertuan Agong pada 2 Sept 2022. -airtimes.my

#UMNO #semasa #Najib #DSAI #mahkamah

Related Articles

Leave a Reply