Home PolitikBarisan Nasional Dua cedera, pergaduhan perwakilan di mesyuarat UMNO Lahad Datu

Dua cedera, pergaduhan perwakilan di mesyuarat UMNO Lahad Datu

by Bernama

LAHAD DATU, 19 Mac – Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lahad Datu di Dewan Sri Perdana di Lahad Datu semalam dicemari oleh insiden pergaduhan dipercayai akibat provokasi sehingga menyebabkan dua individu cedera.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Rohan Shah Ahmad berkata dalam insiden pada 2.45 petang itu, seorang daripada mangsa yang cedera adalah kakitangan Badan Perhubungan Umno Sabah manakala seorang lagi Ahli Jawatankuasa Pemuda Umno Bahagian Lahad Datu.

“Suspek yang terlibat dalam kekecohan ini telah dikenal pasti iaitu dua lelaki berumur 33 dan 38 tahun yang juga merupakan ahli biasa Umno Bahagian Lahad Datu.

“Polis akan menjalankan siasatan di bawah Seksyen 15(3) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau menasihati orang ramai agar menghentikan penularan video dan gambar berkaitan insiden itu kerana kes tersebut masih dalam siasatan polis.

Katanya pihak penganjur telah diminta untuk hadir ke balai polis bagi membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Sophia Thomas Kasau di talian 013-939 2505.

Ketika dihubungi Bernama, Rohan Shah berkata kedua-dua suspek telah tampil memberi keterangan kepada pihak polis.- Bernama

Related Articles

Leave a Reply