SEREMBAN, 29 Jul – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berdepan saingan 2 penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau bagi mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Mohamad yang juga Menteri Pertahanan akan merebut kerusi tersebut dengan calon dari Perikatan Nasional (PN) yang mengetengahkan Timbalan Yang Dipertua PAS Rembau, Rozmal Malakan.
Senarai calon bagi kerusi itu diumumkan Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya DUN Rantau, Norazam Nayan di Sekolah Kebangsaan Bandar Sri Sendayan.
Terdahulu, Mohamad yang lebih mesra dipanggil Tok Mat tiba pada jam 9.07 pagi diiringi Presiden MCA, Wee Ka Siong dan Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Alexander Nanta Linggi.
Sementara itu, Rozmal pula tiba di pusat penamaan calon DUN Rantau 8.50 pagi diiringi penyokong dan pencadangnya.
Mohamad yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan sebelum ini mengumumkan akan mempertahankan kerusi tersebut pada PRN kali ini.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mohamad menang tanpa bertanding selepas Dr Streram gagal menyerahkan borang pencalonan pada 5 Mei 2018.
Dr Streram merangkap Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau kemudian memfailkan petisyen pada 23 Mei 2018 untuk membatalkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Bagaimanapun Mohamad secara rasmi mengekalkan kedudukannya selepas menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram dengan majoriti 4,510 undi.
Dalam persaingan 4 penjuru itu, Mohamad memperoleh 10,397 undi manakala Streram 5,887 undi. -airtimes.my