Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat #Pertahanan: Tentera Darat pertingkat kawalan sempadan Sarawak

#Pertahanan: Tentera Darat pertingkat kawalan sempadan Sarawak

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 19 Jul – Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (PMTTD) terus memperkasa kawalan sempadan Sarawak-Kalimantan Barat (KALBAR), susulan Indonesia menjadikan Kalimantan sebagai ibu kota baharu negara itu.

Melalui TDM dan Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI-AD), pelbagai aktiviti rondaan bersama telah dilaksanakan bagi memperkukuhkan kawalan sempadan negara termasuk Patroli Terkoordinasi (PATKOR).

Selain itu, sebanyak 3 pos kawalan sempadan baharu sedang dibina di Sarawak bagi memperkukuhkan keselamatan di sempadan negara.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Mohammad Abdul Rahman sebelum ini berkata, pos tersebut ialah Pos Rapak Baru di Sri Aman, Pos Tetangga Akrab di Serian dan Pos Mengkalap di Limbang.

Beliau berkata, terdapat 2 lagi pos kawalan sempadan akan dibina tahun hadapan dan ia akan dilaksanakan secara berperingkat.

Untuk rekod, sehingga kini terdapat 17 pos kawalan sempadan di Sabah dan Sarawak.

Perkara tersebut turut dizahirkan oleh Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi yang menyatakan komitmen untuk terus mengeratkan kerjasama dengan kerajaan Sarawak menerusi program Pakej Pertahanan Sarawak.

Jelasnya, perkara itu merangkumi tahap kawalan keselamatan di Sarawak yang akan terus dipertingkat dari semasa ke sesama meskipun keselamatan di negeri ini masih dalam keadaan terkawal.

Panglima Medan Timur Tentera Darat, Letnenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi ketika melawat salah satu pos kawalan di Sarawak baru-baru ini. Foto: PMT TD

“Beberapa perkara telah dibincangkan khususnya tentang keselamatan di Sarawak, kita dapati keselamatan di negeri ini terkawal dengan pos-pos sempadan sentiasa dipertingkatkan,

“Kita juga berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak yang prihatin terhadap keselamatan negeri di bawah Program Sarawak Defend Package telah menawarkan beberapa kelengkapan dan peralatan kepada Tentera Darat Malaysia,” katanya seperti dilapor media.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Bangunan Baitulmakmur pada Jumaat.

Kunjungan ini merupakan yang pertama setelah Mohd Sofi dilantik sebagai Panglima Medan Timur pada 7 Jun lalu menggantikan Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad yang berpindah ke Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) sebagai Naib Canselor.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply