Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Askar Jurutera persembah kesiagaan tempur kepada Kolonel Yang Dipertua RAJD

Askar Jurutera persembah kesiagaan tempur kepada Kolonel Yang Dipertua RAJD

by Nurulhuda

KLUANG, 10 Jul – Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Institut Kejuruteraan Medan Tentera Darat (IKEM), Kem Mahkota Kluang sempena lawatan kerja Kolonel Yang di-Pertua Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), hari ini.

Ketibaan baginda di kem berkenaan disambut Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dan Ketua Jurutera, Brigedier Jeneral Ts Sharuddin Mohd Noh serta Pegawai-Pegawai Kanan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Pada lawatan kerja tersebut, Sultan Perak telah dipersembahkan dengan demonstrasi penyeberangan sungai, pembinaan jambatan dan operasi melawan keganasan dalam persekitaran Chemical, Biological, Radiological, Nuclear And Explosive (CBRNE) dengan menggunakan aset-aset yang terdapat dalam inventori RAJD.

Baginda turut berkenan menerima pemakaian lencana kepakaran Master Explosives Ordnance Disposal (EOD) dan persembahan set lencana kepakaran Master EOD sebagai tanda tanda penghormatan dari RAJD.

Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim menyempurnakan pemakaian lencana kepakaran Master EOD dan mempersembahkan set lencana kepakaran Master EOD ke hadapan Sultan Perak. Foto: AirTimes/N.Huda

Lencana Kepakaran Master Eod merupakan lencana yang diberikan kepada pegawai dan anggota TDM dan RAJD yang mempunyai tahap kepakaran, pengalaman dan pendidikan berterusan yang tinggi dalam bidang pemusnahan bom.

Sementara itu, Komandan IKEM, Kolonel Ts. Ainol Huda Abd Manap menjelaskan, demonstrasi yang dilaksanakan pada hari ini adalah sebahagian daripada kepakaran dan aset-aset Jurutera yang membantu TDM serta agensi awam di dalam negara.

“Demonstrasi utama yang dipamerkan adalah operasi menyeberangi sungai dengan menggunakan peralatan RAJD yang berfungsi sebagai bantuan tempur dalam membantu TDM dalam melaksanakan operasi,

“Operasi ini amat penting kerana mobiliti dalam TDM sangat bergantung kepada bantuan tempur iaitu aset-aset yang terdapat dalam RAJD,

“Pelaksanaan demonstrasi ini bagi menunjukkan kepada Tuanku terdapat aset-aset Jurutera yang dapat membantu Tentera Darat secara langsung dan tidak langsung,” jelasnya kepada Air Times.

Kehadiran Tuanku sebagai Kol Yang di-Pertua RAJD ke IKEM dapat melihat dengan lebih dekat IKEM sebagai sebuah pusat latihan yang melatih askar-askar Jurutera agar sentiasa kompiten dalam melaksanakan tugasan yang diberikan – Komandan IKEM, Kolonel Ts. Ainol Huda Abd Manap. Foto: Air Times/N.Huda

Selain itu, RAJD juga mempamerkan demonstrasi pembinaan jambatan yang mana ia dilakukan semasa membantu kerajaan ketika menghadapi bencana seperti banjir dan tanah runtuh.

Tambahnya, baginda juga dipamerkan dengan demonstrasi melawan keganasan dalam persekitaran CBRNE dan Improvised Explosive Device (IED) dengan membantu pasukan penggempur dari 21 Gerup Gerak Khas (GGK) bersama pasukan anjing pengesan dari Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA).

“Ia mempamerkan kesiagaan pasukan CBRNE dan CIED RAJD dalam mengesan, mengenalpasti, bertindak balas dan seterusnya memusnahkan agen kimia tersebut,” jelasnya lagi.

Mengulas lanjut, Ainol mewakili RAJD merafak setinggi-tinggi penghargaan kepada Sultan Perak yang sudi mencemar duli berangkat ke IKEM.

“Dengan lawatan ini, secara tidak langsung ia dapat meningkatkan semangat kami sebagai jurulatih yang telah membimbing askar-askar jurutera bagi memastikan kompetensi pelatih-pelatih di IKEM ini sentiasa dalam keadaan tertinggi mutunya,” ujarnya lagi. airtimes.my

#airtimes #TDM #RAJD #DaulatTuanku #pertahanan

Related Articles

Leave a Reply