Home Semasa Anwar mahu anggota agensi penguat kuasa miliki nilai, disiplin tinggi

Anwar mahu anggota agensi penguat kuasa miliki nilai, disiplin tinggi

by Bernama

MARANG, 10 Julai – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu setiap warga agensi penguatkuasaan di negara ini memiliki nilai murni dan disiplin yang tinggi dalam menggalas tugas mempertahankan keselamatan negara.

Beliau berkata sekiranya aspek berkenaan berjaya diperkukuh dalam kalangan semua anggota penguat kuasa, matlamat untuk mengangkat martabat negara, bangsa dan umat boleh dicapai dalam tempoh lebih cepat.

“Kita tak kurang orang yang pandai bercakap dari kedai kopi sampai ke Parlimen. Yang kurangnya, orang yang ada disiplin dan nilai yang baik.

“Sebab itu, saya seru bagi semua pihak (supaya) faham agenda perubahan … kalau nak angkat martabat umat, bangsa dan negara tidak boleh dengan kaedah yang lama,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) Terengganu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang di sini hari ini.

Justeru, Anwar menggesa semua warga penguatkuasaan di bawah KDN untuk berubah, baik dari aspek fizikal mahupun spiritual, mengambil kira besarnya tanggungjawab anggota kementerian berkenaan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan segera RM1 juta bagi membaiki 20 unit kuarters polis di IPD Marang yang mengalami kerosakan setelah melihat sendiri situasi kediaman terbabit.

“Minggu depan sampai RM1 juta. Saya minta KDN dan polis untuk ambil tindakan segera. Saya tidak peduli apa cara sekalipun, yang penting ia mesti cepat diselesaikan supaya kita boleh bawa masuk lagi 20 keluarga untuk tinggal di situ.

Kita nak suruh polis pertahankan negara dan banteras jenayah, tapi rumahnya rosak … jadi, saya kata kita selesaikan masalah ini bermula tahun lepas dan tahun ini walaupun tidak semuanya,” kata beliau

Menurut Anwar, bagi kuarters polis lain yang memerlukan kerja pembaikan, KDN akan membawa cadangan mengenai perkara itu, namun ia bergantung pada keupayaan kewangannya.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan kes-kes yang terdesak akan diselesaikan segera tahun ini. – BERNAMA

#Keselamatan #AnwarIbrahim #Marang

Related Articles

Leave a Reply