KUALA LUMPUR,1 MAC – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada hari ini bertitah nilai integriti hendaklah menjadi tunjang utama dalam setiap lapisan warga Tentera Darat Malaysia.
Pada masa yang sama, baginda bertitah agar warga Tentera Darat Malaysia untuk terus berkhidmat dengan penuh profesionalisme demi memastikan Malaysia kekal aman dan berdaulat.
Titah tersebut dizahirkan dalam satu hantaran di akaun media sosial Sultan Ibrahim bersempena Hari Ulang Tahun ke-93 Tentera Darat Malaysia yang jatuh pada 1 Mac pada setiap tahun.
Baginda selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan di atas segala jasa, keringat, dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh seluruh ketumbukan tentera darat.
Sultan Ibrahim turut memanjatkan doa ke hadrat Ilahi agar pengorbanan suci anggota dan veteran Tentera Darat yang telah terkorban diangkat ke darjat yang tertinggi.
“Al-Fatihah buat para anggota serta veteran yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada,” titah Sultan Ibrahim. – airtimes.my
