KUALA LUMPUR, 7 Jul – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pertukaran Panji-Panji 71 Rejimen Semboyan DiRaja Pemerintahan Medan Barat (71 RSDPMB), hari ini.
Baginda selaku Kolonel Yang DiPertua Rejimen Semboyan Diraja (Kol YDP RSD) berangkat ke istiadat yang dilaksanakan di Kem Perdana Sungai Besi diiringi Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.
Dalam titah Kol YDP RSD, Tuanku Muhriz bertitah agar ikrar yang dilafazkan dilaksanakan bagi memastikan Malaysia sentiasa terpelihara daripada sebarang ancaman.
“Peranan setiap anggota adalah penting dalam menyokong agenda pembinaan negara dan bangsa serta bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan yang mendatang,” titah baginda pada istiadat itu.
Baginda turut berasa bangga dengan prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh rejimen ini dan menaruh sepenuh kepercayaan bahawa tahap kecemerlangan ini akan terus dikekalkan.
Tentera Darat Malaysia (TDM) memaklumkan, istiadat ini merupakan satu tanda penghormatan dan penghargaan terhadap kesetiaan, kebaktian dan pengorbanan dalam mempertahankan kedaulatan Raja dan Negara.
“Fungsi dan identitinya panji-panji juga adalah sebagai lambang dan simbol kemegahan serta keunggulan sesuatu unit bagi mengekalkan semangat juang, keberanian, daya tahan mental dan fizikal serta keazaman dan kegigihan sesebuah pasukan itu terutamanya di medan tempur,” jelas TDM dalam kenyataan, pada Jumaat.
Panji-Panji Rejimen ini telah dianugerahkan pada 5 Jun 2004 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur sempena Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-12, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.
Kini ia telah berusia 20 tahun dan menurut Armed Forces Council Federations (AFCI) 1960, panji-panji boleh dibuat pertukaran setelah berusia 15 tahun.
Bagi kelulusan pertukaran Panji-Panji 71 RSDPMB, ianya telah dipersetujui oleh Lembaga Pemeriksaan yang diketuai oleh Wakil Sel Rejimental Cawangan Sumber Manusia Markas Tentera Darat agar dibuat pertukaran.
Terdahulu, baginda menyempurnakan upacara pertukaran Panji-Panji menerusi acara tepung tawar sebagai simbolik pentauliahan Panji-Panji baharu diikuti lafaz Ikrar Panji-Panji serta penyampaian Watikah Ikrar kepada Kolonel Yang DiPertua Rejimen Semboyan Diraja.
Panji-Panj iRejimen yang baharu ini kemudian diara dan diperkenalkan kepada pegawai-pegawai dan perajurit sebagai satu tradisi bagi memastikan setiap pegawai dan perajurit mengenali panji-panji keagungan mereka.
Perbarisan ini melibatkan 4 Detasmen terdiri daripada 23 pegawai dan 336 anggota yang diketuai oleh Kolonel Jaafar Ibrahim yang merupakan Pegawai Memerintah yang ke-23.
Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isteri; Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dan isteri, Pegawai-Pegawai Kanan TDM dan RSD serta veteran-veteran RSD. -airtimes.my
#pertahanan #RSDPMB #PanjiPanji #RSD #airtimes