Home Pertahanan dan Keselamatan Op PASIR lindungi kepentingan negara dari sebarang ancaman anasir luar

Op PASIR lindungi kepentingan negara dari sebarang ancaman anasir luar

by Nurulhuda

SANDAKAN, 7 Jul – Kehadiran pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Timur Sabah adalah satu strategi dalam melindungi kepentingan negara daripada sebarang ancaman oleh anasir luar.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) memaklumkan, kehadiran pasukan di 3 kawasan lapisan berpadu merangkumi daratan, lautan serta udara itu turut meningkatkan keyakinan masyarakat setempat serta merancakkan lagi pembangunan sektor pelancongan, ekonomi dan sosial di kawasan tersebut.

“Perkara ini selaras dengan Tonggak Pertama Strategi Pertahanan Negara dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP) 2020–2030,” menurut MINDEF dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut MINDEF, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama delegasi telah mengadakan lawatan kerja ke kawasan tanggungjawab (KTJ) Operasi Padanan dan Sipadan Island Resort (Op PASIR) Sektor Bravo di Pulau Berhala, hari ini.

Semasa lawatan itu, Mohamed Khaled menerima taklimat daripada Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) Brigedier Jeneral Wan Edenin Wan Mahsin mengenai tahap pengoperasian Op PASIR yang dilaksanakan sejak 2002 bagi melindungi kedaulatan dan keutuhan Timur Sabah daripada sebarang bentuk ancaman pencerobohan serta konflik.

“Mohamed Khaled juga meninjau kesiagaan pasukan ATM di sekitar kawasan operasi termasuk bertemu pegawai dan anggota yang ditempatkan di sekitar Sandakan,” tambah kenyataan itu lagi.

Beliau turut menyerahkan sumbangan kepada Wan Edenin iaitu pembelian peralatan sukan dan rekreasi bernilai RM10,000 daripada Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) bagi kegunaan anggota beroperasi dalam Op PASIR.

“Sumbangan berkenaan sebagai menzahirkan keprihatinan MINDEF dan kerajaan dalam menjaga kebajikan serta moral anggota ATM yang melaksanakan operasi berada pada tahap yang tinggi,” ujar MINDEF.

Turut hadir, Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad, Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Mejar Jeneral Datouk Fazal Abdul Rahman. -airtimes.my

#pertahanan #OpPasir #ATM #Sabah #airtimes #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply