HAWAII, AMERIKA SYARIKAT, 17 Jul – Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui pasukan 10 Briged (10 Bgd) Para telah menyertai Eksesais RIMPAC 2024 di sekitar Kepulauan Hawaii, Amerika Syarikat sejak 25 Jun sehingga 2 Ogos 2024.
Eksesais tersebut merupakan eksesais maritim terbesar di dunia yang melibatkan 29 buah negara dan ia merupakan penglibatan Malaysia buat kali ke-7.
Menurut 10 Bgd Para, pihaknya telah menghantar pegawai dan anggota dari Batalion Ke-8 Rejimen Renjer DiRaja (8 RRD, Para) serta Kompeni Tinjau (Para) pada kali ini.
“Penglibatan TDM di dalam eksesasis ini adalah di bawah Combined Task Group (CTG) 176.2 yang bertumpu kepada operasi amfibi dan serbuan udara (air assault),
“Keseluruhan latihan di bawah CTG ini turut disertai oleh negara seperti Amerika Syarikat, Chile, Mexico, Peru, Korea Selatan, Sri Lanka, Indonesia, Tonga dan lain-lain,” jelas 10 Bgd Para dalam hantaran di laman Facebooknya.
Pihak 10 Bgd Para turut memaklumkan, platun 8 RRD (Para) telah melaksanakan beberapa latihan tempur bersama negara-negara rakan kongsi (partner nations).
“Latihan tersebut termasuklah Military Operation in Urban Terrain (MOUT) – Integrated Immersive Trainer (IIT), Combat Marksmanship Programme (CMP), Kelas Shallow Water Egress Training (SWET) dan Small Boat Tactics,
“Selain itu, turut diadakan demonstrasi Fast Rope dan Small Unmanned Arieal System (sUAS) di Marine Corps Base Hawaii (MCBH) dan Marine Corps Training Air Bellows (MCTAB),” tambah hantaran itu lagi.
Jelasnya, penglibatan Trup TDM ini adalah bertujuan meningkatkan kemahiran di dalam operasi amfibi dan serbuan udara, meningkatkan kebolehtukaran dan profesionalisme, serta sebagai platform untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman yang berbeza.
“Ia juga selari dengan Teras Ketiga Perintah Ulung PTD Ke-30, ‘Agenda Pengukuhan Keupayaan’ yang menekankan aspek mengukuhkan keupayaan ketenteraan dan seiring dengan blueprint Way Forward 10 Bgd (Para) dalam usaha mengembangkan pengoperasian 10 Bgd (Para) supaya kekal relevan di masa hadapan,” jelas 10 Bgd Para. -airtimes.my
#pertahanan #TDM #Malaysia #airtimes #AS
