KUALA LUMPUR, 16 Jul – Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) menyasarkan 3 strategi utama dalam usaha meningkatkan imej persatuan agar dapat memberi lebih manfaat kepada ahlinya termasuk negara.
Presiden PVTLDM yang baharu, Komander (B) Khairil Hariss Khairuddin TLDM berkata, strategi tersebut termasuklah menjenamakan semula imej persatuan dari prinsip meminta-minta seperti persatuan bukan kerajaan (NGO) yang lain.
“PVTLDM melalui transformasi yang baharu ini menyasarkan 3 inisiatif yang kita cuba ubah iaitu menjenamakan semula PVTLDM kepada imej yang lebih baik,
“Persatuan ini bukan hanya memfokus kepada aspek kebajikan. Kalau kita (PVTLDM) menonjolkan persatuan ini boleh memberikan banyak manfaat, pasti lebih banyak pihak akan berkolaborasi dengan kita,
“Kalau hanya fokus kepada kebajikan sahaja, sampai bila-bila kita akan menjadi peminta derma. Jadi untuk sesi yang baharu ini, kita akan ubah pandangan itu,” jelasnya kepada Air Times baru-baru ini.
Khairil Hariss menjelaskan, barisan Jawatan Kuasa PVTLDM yang baharu ini juga akan berusaha untuk mengukuhkan jalinan kerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan dalam merealisasikan segala usaha yang dirancang.
Jelasnya, ia termasuklah kerjasama dengan pihak tertinggi Kementerian Pertahanan (MINDEF), kerajaan negeri, TLDM, persatuan veteran yang lain termasuklah veteran-veteran yang telah berjaya.
“Strategi yang terakhir adalah berkait dengan inklusitiviti persatuan. Sebelum ini persatuan PVTLDM di seluruh negeri yang mempunyai 16 cawangan, masing-masing membuat aktiviti masing-masing,
“Di sini kami akan membantu dari segi penyelarasan dana supaya persatuan pusat dapat membantu untuk mendapatkan sumber-sumber kewangan yang tertentu. Strategi kami adalah melihat kepada kebajikan persatuan itu sendiri agar dapat bergerak dengan sewajarnya,
“Kita juga akan menyelaraskan dari segi aktiviti persatuan contohnya melaksanakan aktiviti secara serentak di seluruh negeri, bagi melambangkan identiti persatuan yang bersama,” ujarnya lagi.
Mengulas mengenai kemenangan semasa sesi pemilihan jawatan Presiden PVTLDM, Khairil Hariss meluahkan rasa bersyukur kerana perwakilan yang hadir dapat memahami dan menerima neratif yang dibawa termasuk inisiatif yang bakal diusahakan.
“Kita hendak tunjukan bahawa veteran TLDM ini adalah sebagai aset negara sekiranya dilihat dari aspek yang betul, mereka bukan hanya hadir dari kepakaran masing-masing tetapi mereka dilatih dengan disiplin yang tinggi, kesetiaan yang tidak berbelah bagi dan patuh kepada peraturan yang diberikan,
“Jadi mereka ini sepatutnya dilihat sebagai sumber pekerjaan atau sumber manusia yang baharu terutamanya kepada syarikat-syarikat korporat,” jelasnya lagi.
Pada Sabtu lalu, seramai 184 ahli PVTLDM di seluruh negeri telah tampil bagi menghadiri Persidangan Perwakilan kali ke-16 di Johor Bahru.
Persidangan yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari itu adalah bagi memilih calon Presiden dan Perwakilan baharu bagi sesi tahun 2024 sehingga 2027.
Khairil Hariss telah memenangi pemilihan jawatan Presiden PVTLDM dengan menewaskan Senator Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid yang sebelum ini menerajui persatuan itu selama 2 penggal.-airtimes.my
#airtimes #PVTLDM #pertahanan #TLDM #veteran