KOTA TINGGI, 17 Jul – Kementerian Pertahanan (MINDEF) masih belum menerima sebarang undangan daripada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk hadir berhubung prosiding Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang djadual pada Ogos ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau tidak mempunyai masalah untuk memberi kerjasama sekiranya dipanggil berhubung perkara terbabit.
“Kalau saya ada terima undangan Insya-Allah saya akan hadir, setakat ini saya tidak terima apa-apa. Saya tiada masalah (untuk hadir ke prosiding),” katanya semasa Program Jiwa Murni Kementah Peringkat Negeri Johor di Kampung Bukit Sedili Besar, hari ini.
Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata, setakat ini, perkembangan LTAT berjalan dengan baik dan sedang membuat keuntungan dan beliau percaya semua syarikat di bawah lembaga berkenaan berada pada landasan yang betul.
“Kita semua berjalan dengan baik, mana yang buat untung, buat untung. Tempoh hari, Pharmaniaga telah umumkan keuntungannya, Insya-Allah lain-lain syarikat di bawah LTAT saya percaya berada pada landasan yang betul, tak perlu untuk dijual,
“Tetapi melalui usaha mereka sendiri mereka mampu untuk memastikan syarikat dalam keadaan yang baik boleh buat untung,” ujarnya lagi.
Tambahnya, keuntungan berkenaan boleh diumumkan yang akan memberi manfaat kepada LTAT.
“Dengan demikian LTAT terjamin untuk mengumumkan dividen bagi anggota tentera yang memang LTAT sebagai tempat simpanan duit mereka sebagai tabung simpanan pencen mereka,” katanya.
Semalam, Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dilaporkan berkata, akan memanggil Mohamed Khaled ke prosiding LTAT yang seterusnya pada Ogos ini.
Jelas Mas Ermieyati, Mohamed Khaled akan menyertai 3 bekas ahli pengurusan tertinggi LTAT sebagai saksi pada prosiding itu nanti. -airtimes.my
#pertahanan #LTAT #MindefMalaysia #airtimes #LTAT #PAC