Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Hilang 19 hari, anggota Rejimen Sempadan ditemui selamat

Hilang 19 hari, anggota Rejimen Sempadan ditemui selamat

by Nurulhuda

KUCHING, 6 Jul – Anggota Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (7 RS) yang dilaporkan hilang ketika melaksanakan Operasi (Op) Ukur bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) di sempadan Malaysia-Brunei di Limbang pada 18 Jun lalu, ditemui selamat.

Sel Perhubungan Raya Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan mengesahkan penemuan Prebet Muhammadd Syafiq Hilmi Abd Halim itu pada jam 11.29 pagi tadi oleh kumpulan Search and Rescue (SAR) setelah 17 hari operasi tersebut dilancarkan.

Menurut TDM, Pbt Syafiq telah berjaya menjejaki tanda-tanda panduan laluan rintis pencarian yang sengaja dibuat di sekitar lokasi pencarian sehingga beliau berjaya menemui lokasi Forward Operating Base (FOB) Tim A.

“Beliau ditemui dalam keadaan selamat lengkap bersama peralatan dan senjata namun lemah akibat kelaparan dan dehidrasi,

“Beliau seterusnya diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan di lokasi untuk pemeriksaan lanjut,” jelas TDM lagi.

Pihak TDM turut menjelaskan, keluarga Pbt Syafiq telah dihubungi menerusi panggilan telefon dan akan diterbangkan ke Sarawak dalam masa terdekat.

“Semua perbelanjaan perjalanan akan ditanggung sepenuhnya oleh TDM,” jelas kenyataan itu.

Sebelum ini, TDM mengesahkan seorang anggotanya dilaporkan hilang ketika menjalankan Op Ukur di kawasan sempadan Malaysia-Brunei ketika melaksanakan operasi bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) Sarawak.

Usaha pencarian dipergiatkan oleh TDM di kawasan berkenaan dengan membabitkan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta agensi yang dikoordinasikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) juga mengatur gerak aset mereka dalam membantu usaha pencarian bersama TDM.

Mengulas lanjut, TDM turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat termasuk ABDB atas bantuan dan sokongan yang diberikan sepanjang operasi SAR ini dijalankan.

“Kerjasama erat antara TDM dan ABDB dalam operasi ini telah membuktikan hubungan dua hala yang kukuh antara kedua-dua negara,

“Ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam operasi ini khususnya kepada kerajaan Sarawak, lain-lain agensi dan individu yang terlibat sehingga Pbt Syafiq berjaya ditemui dengan selamat,” jelas TDM.

Tambah TDM, pihaknya juga akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian dan sebagai penambahbaikan kepada Standard Operating Procedure (SOP) sedia ada.

“Dengan penemuan Pbt Syafiq dalam keadaan selamat, maka operasi SAR ini ditamatkan,” jelas TDM. -airtimes.my

#TDM #airtimes #operasi #OpUkur #JUPEM #Sarawak

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!