Home Pertahanan dan Keselamatan Isu aset TLDM akan dibahas di Parlimen, Hornet Kuwait belum diputuskan – Adly Zahari

Isu aset TLDM akan dibahas di Parlimen, Hornet Kuwait belum diputuskan – Adly Zahari

by Zaki Salleh

TAIPING, 6 Jul – Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) tentang status aset-aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Parlimen minggu depan.

Ini bagi memberi penjelasan berhubung laporan tersebut yang dikemukakan secara terbuka dan menjadi perhatian umum.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, ia termasuk isu sasaran perolehan kapal yang sepatutnya dilaksanakan TLDM.

Dalam LKAN menyebut TLDM hanya menerima 4 buah kapal daripada 18 buah kapal sepatutnya.

“Laporan itu akan dijawab dan dibahaskan dalam sidang Parlimen pada minggu hadapan,

“Kita akan beri penjelasan termasuk pelan rancangan kita untuk menjelang 2050 sepertimana rancangan yang asal,” katanya

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM 2024 di sebuah hotel di sini.

Adly memberitahu, banyak perkara telah dibangkitkan dalam LKAN yang mana Menteri Pertahanan akan menjawabnya secara terbuka di Parlimen.

Pendedahan LKAN berhubung kepincangan dalam aset TLDM termasuk usia kapal yang melebihi 40 tahun menimbulkan persoalan terhadap keupayaan armada laut negara.

Dalam perkembangan lain, berhubung hasil lawatan tim teknikal Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Kuwait, pihak Mindef juga akan memaklumkan satu keputusan.

Lawatan tim teknikal TUDM ini susulan cadangan mengadakan rundingan bagi perolehan pesawat tempur F/A-18 Hornet kepunyaan tentera udara Kuwait.

Kuwait mengoperasikan kedua-dua varian C dan D dengan usia pesawat melebihi 25 tahun.

Jelas Adly, pihak MINDEF akan membuat keputusan berdasarkan daripada laporan kumpulan teknikal tersebut.

“Sama ada kita nak buat perolehan berhubung perkara itu masih belum diketahui lagi kerana kita sedang menunggu laporan mengenainya.

“Keputusan akan dibuat setelah pihak kementerian menerima laporan daripada kumpulan teknikal yang ke sana dan aspek keperluan TUDM,” katanya.

TUDM dikatakan berminat untuk mendapatkan pesawat terpakai Kuwait ini sebagai opsyen jangka pendek bagi mengimbangi kekuatan udara.-airtimes.my

#pertahanan #airtimes #Parlimen #LKAN

Related Articles

Leave a Reply