PADANG TERAP, 20 Jul – Tentera Darat Malaysia (TDM) menggagalkan cubaan menyeludupan 930 kilogram (kg) daun ketum yang dianggarkan bernilai RM74,400.00 ke Thailand, pada Jumaat.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div) memaklumkan, rampasan itu dibuat di sempadan Malaysia-Thailand pada jam 11.30 pagi dalam sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd).
Menurut pihak 2 Div, pasukan beroperasi telah mengesan sebuah kenderaan pacuan 4 roda jenis Mitsubishi Pajero dalam keadaan mencurigakan di kawasan hutan di berkenaan dan cuba untuk menahan kenderaan tersebut.
“Menyedari kehadiran pasukan beroperasi, suspek yang berada di dalam kenderaan tersebut bertindak meninggalkan kenderaan dan melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran sempadan Malaysia-Thailand,
“Hasil siasatan mendapati sebanyak 93 buah bungkusan mengandungi daun ketum dengan berat keseluruhan sebanyak 930 kg dengan anggaran nilai sebanyak RM74,400.00 berada di dalam kenderaan tersebut,” jelas pihak 2 Div dalam kenyataan pada Sabtu.
Hasil rampasan dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM99,400.00 telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap untuk tindakan selanjutnya.
Tambah kenyataan itu, pasukan beroperasi sentiasa mengawal sempadan negara dan akan memastikan keselamatan sempadan terpelihara.-airtimes.my
#TDM #sempadan #seludup #daunketum #airtimes #Malaysia #Thailand
