KUALA LUMPUR, 20 Julai – Institusi Yang di-Pertuan Agong adalah tonggak kekuatan negara dan rakyat pelbagai kaum.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Baginda turut berperanan sebagai penaung agama Islam yang merupakan agama Persekutuan, pengukuh kedudukan bahasa Melayu dan pembela hak dan keistimewaan orang Melayu serta Bumiputera.
Menurutnya, ia juga menjamin kesaksamaan dan keadilan bagi semua warga Malaysia dalam memaknai prinsip Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.
“Sesungguhnya, pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada hari ini mencatat lembaran sejarah yang Insya-Allah akan mampu mengangkat martabat negara.
“Kerajaan dan seluruh rakyat jelata berdoa ke hadrat Allah SWT, semoga Seri Paduka Baginda berdua serta kerabat, sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayahNya, kekal karar di atas singgahsana pemerintahan, juga beroleh ‘afiyah dan penuh kedaulatan,
“Tuanku turut berperanan dalam menjamin jalinan erat di antara negara di peringkat ASEAN, negara-negara Islam dan di peringkat antarabangsa,” katanya semasa menyembahkan ucapan tahniah dan taat setia atas pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang diPertuan Agong ke-17 di Istana Negara hari ini.
Anwar turut berkata, institusi Yang di-Pertuan Agong adalah mahkota negara dan rakyat yang mampu mengikat semangat kesatuan dan perpaduan dan dimuliakan sebagai mercu keihsanan.
“Justeru, Patik bagi pihak Kerajaan serta rakyat sekalian juga berikrar akan sentiasa menumpahkan taat setia kepada Tuanku serta berdoa semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala melimpahkan Seri Paduk Baginda berdua inayah dan rahmat Allah Subhanahu Wa Ta’ala jua,” ujarnya lagi.
Pelantikan Seri Paduka Baginda adalah bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dari Pahang, yang tamat tempoh pemerintahan selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Jan 2024.-airtimesmy
#semasa #AgongKita #DaulatTuanku #DSAI #Malaysia #airtimes
