Home Pertahanan dan Keselamatan Kemalangan tentera: Jenazah Sarjan Rozali selamat dikebumikan

Kemalangan tentera: Jenazah Sarjan Rozali selamat dikebumikan

by Nurulhuda

BESUT, 3 Feb – Jenazah Sarjan Rozali Abdull Rani, 39, yang maut dalam kemalangan membabitkan 3 buah kenderaan tentera dan sebuah lori awam di Kilometer 77.5 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara semalam, selamat dikebumikan pagi tadi.

Jenazah Allahyarham Rozali selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gong Bayor di sini kira-kira jam 8 pagi.

Allahyarham yang meninggalkan isteri Tuan Nor Hasliza Tuan Mohd Nor, 37, dan seorang anak lelaki Muhammad Nabil, 13, dikebumikan mengikut istiadat pengebumian Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diketuai Pegawai Waran 2 Hazrul Suhaimi selaku Ketua Pengusung.

Suasana hiba menyelubungi upacara yang dihadiri keluarga dan rakan sekerja Allahyarham apabila Pegawai Memerintah Batalion Ke-3 Rejimen Sempadan (3 RS) Kem Pengkalan Hulu Perak Leftenan Kolonel Saiful Azril Zahimi menyerahkan Jalur Gemilang kepada ayah Rozali, Abdul Rani Hamad, 64, pada penghujung istiadat pengebumian itu.

Terdahulu, jenazah Rozali yang merupakan anak kedua daripada 4 beradik itu tiba di Masjid Kampung Gong Bayor pada 5.45 pagi untuk solat jenazah selepas dimandikan dan dikafankan di Masjid Jamek, Pengkalan Hulu, Perak.

Sementara itu, Muhammad Nabil yang ditemui usai majlis pengebumian itu berkata kali terakhir dia bertemu ayahnya adalah pada pagi semalam ketika Rozali menghantarnya ke sekolah.

“Masa itu ayah beritahu dia nak pergi kerja, nak pergi hantar trak. Itulah kali terakhir saya jumpa dan dapat cium tangan ayah sebelum dapat tahu dia terlibat dalam kemalangan,” katanya seperti dilapor Bernama.

Semalam, 3 anggota daripada Pasukan 3 RS yang berpangkalan di Kem Pengkalan Hulu termasuk Rozali maut dalam kemalangan di Kilometer 75 Lebuh Raya Utara Selatan di Gurun.

Selain Allahyarham yang diserap ke dalam perkhidmatan tetap ATM pada 2008, turut terkorban dalam kemalangan itu ialah Koperal Mohd Asri Idris, 40, dan Lans Koperal Mohd Hafiz Haris, 30.

Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan kemalangan terbabit melibatkan tiga kenderaan tiga tan yang sedang berkonvoi menuju ke Markas 30 Briged, Kem Bukit Cowder, Kangar, Perlis untuk mengambil anggota yang menjalani Eksesais Satria Gagah.

Menurutnya, sebuah kenderaan dalam konvoi berkenaan telah mengalami kerosakan menyebabkan mereka terpaksa berhenti di sebelah laluan kiri lebuh raya, sebelum dirempuh oleh sebuah lori awam di lokasi kejadian. -airtimes.my

#kemalangan #TDM #maut #airtimes

Related Articles

Leave a Reply