Home Pertahanan dan Keselamatan ATM atur gerak 750 anggota bantu hospital seluruh Lembah Klang

ATM atur gerak 750 anggota bantu hospital seluruh Lembah Klang

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengaturgerakan seramai 750 anggotanya ke seluruh hospital di Lembah Klang bagi membantu petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam merawat pesakit COVID-19.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, khidmat anggota tentera itu diperlukan dalam membantu membawa tangki oksigen kepada pesakit yang terbabit.

“Dulu timbul isu tenaga kerja yang berkurangan melibatkan pengurusan penukaran tangki oksigen. Apabila penggunaan tong oksigen sudah habis dan hendak ditukar, ia memerlukan manpower (tenaga kerja),

“ATM telah menyediakan 750 anggota untuk membantu hospital di seluruh Lembah Klang, di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang (HTAR) kita telah menempatkan seramai 90 anggota tentera,

“Kalau kita tengok tadi yang menolak tangki oksigen keluar dan masuk, kita tidak mahu ada kekangan masa dalam proses penukaran tangki oksigen berkenaan,

“Setiap balang oksigen boleh digunakan dalam masa 8 jam, jadi selepas 8 jam terus akan ditukar yang baharu. Jadi, kita tak nak ambil masa yang lama untuk tunggu tong yang baru, ia mungkin akan membahayakan pesakit tersebut,” katanya selepas membuat lawatan hospital medan HTAR, pagi tadi.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera, Leftenan Jeneral Datuk (Dr) Zulkeffeli Mat Jusoh.

Ismail Sabri menambah, sebanyak 578 katil termasuk 100 katil ditambah di hospital medan untuk menampung peningkatan kes COVID-19 di hospital berkenaan.

Menurutnya, ketika ini sebanyak 900 daripada 1,264 katil di hospital ini disediakan khusus untuk pesakit COVID-19 dan bakinya untuk pesakit bukan COVID-19. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply