KUALA LUMPUR, 12 Mac – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM menegaskan penyertaan generasi muda dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mampu menjadikan pasukan itu lebih efektif dalam menghadapi cabaran serta ancaman keselamatan.
Beliau menyatakan perkara tersebut semasa menyampaikan ucapan dalam Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Muda Program 2U2I Juruterbang ATM.
“Kehadiran generasi muda dalam angkatan ini adalah dialu-alukan kerana mereka penyambung kepada segala legasi dan tradisi,
“Mereka mampu menjana pemikiran serta idea baru dalam menambah baik kualiti dan keberkesanan angkatan dalam mendepani ancaman-ancaman keselamatan masa hadapan yang semakin kompleks,” katanya dalam majlis yang diadakan di Dewan Tun Templer Kem Perdana Sungai Besi, semalam.
Terdahulu, Panglima Angkatan Tentera memakaikan pangkat Pegawai Muda kepada 18 Pegawai Kadet ATM yang telah berjaya menamatkan Program 2U2I.

“Kehadiran generasi muda dalam angkatan ini adalah dialu-alukan kerana mereka penyambung kepada segala legasi dan tradisi” – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM. Foto: Markas ATM
“Saya berasa amat gembira dan berbangga apabila adanya generasi anak muda yang sudi menyahut cabaran untuk menjalani laluan kehidupan yang berbeza daripada rakan-rakan sebaya mereka di luar sana,” kata Affendi.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada kesemua Pegawai Kadet yang berjaya dan kini menjadi sebahagian daripada keluarga besar ATM.
Majlis ini turut dihadiri oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob; dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM.
Menurut Bahagian Hal Ehwal Awam Markas ATM, pelaksanaan Program 2U2I merupakan satu detik bersejarah dimana 18 Pegawai Kadet yantg terlibat adalah dari 2 cabang perkhidmatan iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Mereka mampu menjana pemikiran serta idea baru dalam menambah baik kualiti dan keberkesanan angkatan dalam mendepani ancaman-ancaman keselamatan masa hadapan yang semakin kompleks,”
“Mereka telah berjaya menamatkan Program Latihan PK 2U2I dan Majlis Pemakaian Sayap Penerbangan telah dilaksanakan oleh Panglima Tentera Udara di Kolej Tentera Udara (KTU) pada 17 Disember 2022 tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, komposisi Pegawai Muda yang terlibat adalah 3 lelaki dari TDM manakala TUDM terdiri daripada 14 lelaki dan seorang wanita.
“Majlis ini merupakan satu pengiktirafan yang amat bermakna kepada ATM kerana berjaya melahirkan juruterbang muda melalui program Latihan 2U2I yang menggunakan kepakaran di peringkat TUDM,” kata kenyataan itu.

Seramai 18 Pegawai Kadet Program 2U2I Angkatan Tentera Malaysia telah ditauliahkan sebagai Pegawai Muda. Majlis ini menyaksikan seorang Pegawai Kadet Wanita berjaya menharungi cabaran program tersebut. Foto: Markas ATM
Program 2U2I merangkumi dua fasa iaitu peringkat akademik (2U) dan fasa penerbangan (2I) telah mula dilaksanakan semenjak tahun 2018.
Program ini telah dilaksanakan mulai 13 Jul 18 hingga 7 Feb 21 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bagi program 2U dengan LULUS Kepujian Kelas Kedua (Tinggi), Ijazah Sarjana Muda Penerbangan (ZK61).
“Seterusnya mulai 8 Februari 2021 hingga 17 Disember 2022, meneruskan latihan di Institut Penerbangan 1 dan Institut Penerbangan 2 (INSPEN 1 dan INSPEN 2) bagi program 2I.
“Bagi Pegawai Kadet yang LULUS Kursus Asas Penerbangan (BFC) Siri 83/21 dan Kursus Asas Penerbangan Helikopter (BHFC) Siri 63/21, mereka seterusnya layak ditauliahkan sebagai Pegawai Muda ATM dengan pangkat Leftenan Muda,” jelas kenyataan itu. – airtimes.my