Home Pertahanan dan Keselamatan Tentera Darat laksanakan transformasi latihan, sedia depani ancaman dron FPV

Tentera Darat laksanakan transformasi latihan, sedia depani ancaman dron FPV

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 25 FEB – Tentera Darat Malaysia (TDM) kini dalam fasa membangunkan modul latihan baharu dan kepakaran khusus bagi memperkasakan unit infantri dalam menghadapi ancaman dron Pandangan Orang Pertama (First Person View – FPV).

Langkah proaktif ini diambil susulan perubahan landskap peperangan moden di Eropah yang memperlihatkan keberkesanan penggunaan teknologi tersebut sebagai pengganda daya (force multiplier) dalam operasi ketenteraan.

Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan bahawa TDM sedang merancang pembangunan kepakaran anggota melalui lima teras utama termasuk penstrukturan semula organisasi di peringkat taktikal, operasional, dan strategik.

“Penstrukturan ini bertujuan memastikan penggunaan sumber manusia selari dengan keupayaan aset dron pada masa hadapan,

“TDM akan menumpukan kepada integrasi pelbagai domain bagi menyelaraskan data serta kebolehoperasian (interoperability) antara perkhidmatan melalui standard teknikal dan latihan bersama,” jelas Khaled bagi menjawab pertanyaan Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) di Dewan Rakyat, semalam.

Menurut Khaled, pembangunan doktrin dan konsep operasi khusus sedang dirangka bagi memastikan penggunaan dron dalam pelbagai situasi dapat dilaksanakan secara efektif.

Selain itu, TDM turut mewujudkan latihan khas bagi operator serta penganalisis data guna meningkatkan kemahiran anggota dalam operasi keselamatan.

“TDM juga melihat ke hadapan untuk menjalin kerjasama dengan negara luar bagi memantapkan pasukan, selain bersedia menghantar pegawai dan anggota menjalani latihan serta kursus di luar negara,

“Pendekatan ini bagi memastikan anggota infantri kekal relevan dan berkeupayaan menghadapi ancaman peperangan generasi baharu tanpa bergantung sepenuhnya kepada platform teknologi tinggi semata-mata,” tambah beliau.

Pembangunan modul ini dilihat sebagai langkah strategik bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara dalam mendepani realiti medan operasi semasa yang semakin mencabar. – airtimes.my

KATA KUNCI : ATMDewan RakyatMINDEFPertahanan KeselamatanTDM

Leave a Reply