TDM
Eks Jungle Falcon bermula: Tentera Malaysia, UAE Perkukuh Taktik Peperangan Konvensional
KUANTAN, 14 APRIL – Tentera Darat Malaysia (TDM) mula melaksanakan Eksesais Jungle Falcon siri 2/2025 bersama dengan pasukan tentera Emiriah Arab Bersatu (UAE Land Forces, UAELF) di Kuantan Pahang, hari ini.
Panglima 4 Briged (Mekanize), Brigedier Jeneral Wan Mohd Faizal Shahrin W. Mohamad Fablillah berkata, konsep latihan kali ini adalah memfokuskan kepada peperangan konvensional yang memberi penekanan kepada operasi mekanis.
Menurutnya, matlamat utama latihan ini adalah untuk mempertingkatkan kebolehoperasian bersama dan persefahaman melalui prosedur-prosedur standard yang sama, sekaligus meningkatkan keupayaan kita sebagai satu pasukan.

Panglima 4 Briged (Mekanize), Brigedier Jeneral Wan Mohd Faizal Shahrin W. Mohamad Fablillah memberi ucapan perasmian EKS Jungle Falcon Siri 2/2025 di Padang Kawad 12 RAMD (Mek), Kem Daralockwood, Kuantan (Foto: Zulhaizi)
“Latihan ini merupakan manifestasi serta lambang kerjasama dan hubungan ketenteraan erat antara kedua-dua negara yang terus dipupuk dan diperkukuhkan.
“Latihan ini akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu Latihan Silang (CTX) dan Latihan Medan (FTX) yang berpotensi menjadi bentuk operasi yang akan dihadapi oleh kedua-dua angkatan dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan perasmian EKS Jungle Falcon Siri 2/2025 di Padang Kawad 12 RAMD (Mek), Kem Daralockwood, Kuantan pada Isnin.

Panglima 4 Briged (Mekanize), Brigedier Jeneral Wan Mohd Faizal Shahrin W. Mohamad Fablillah bersama Ketua Staf Emirates Brigade UAELF, Kolonel Staf Ateeq Zefna Alwaihi Zefna Alefairi merasmikan Eks Jungle Falcon siri 2/2025 (Foto: Zulhaizi)
Ujarnya lagi, latihan ini turut membuka peluang kepada semua peserta untuk memperoleh pengalaman baharu, kemahiran dan ilmu pengetahuan.
“Para anggota dari UAELF juga berpeluang untuk menjalankan operasi dalam keadaan iklim dan cuaca serta rupa bumi Malaysia, manakala anggota TDM dapat mempelajari teknik dan pendekatan baharu sepanjang latihan ini.

Panglima 4 Briged (Mekanize), Brigedier Jeneral Wan Mohd Faizal Shahrin W. Mohamad Fablillah bersama anggota perbarisan di majlis pembukaan Eksesais Jungle Falcon siri 2/2025 (Foto: Zulhaizi)
“Malah, latihan ini juga akan meningkatkan keupayaan anggota untuk melaksanakan operasi mekanis dengan lebih cekap dan berkesan,” katanya.
Latihan bilateral yang dilaksanakan mulai 14 hingga 26 April ini akan melibatkan seramai 77 Pegawai dan 766 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari kedua-dua negara.
Latihan kali ini merupakan siri kedua dilaksanakan di negara ini selepas julung kalinya diadakan pada tahun 2023 -airtimes.my
#TenteraDarat #TDM #UAELF #Eksesais #JungleFalcon #Pertahanan #Malaysia #airtimes
Penglibatan kaum Cina rendah: Tanggungjawab jaga kedaulatan negara milik semua – Panglima Tentera Darat
KUALA LUMPUR, 3 MAC –Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan menegaskan, pertahanan negara bukan tanggungjawab eksklusif satu kaum sahaja, sebaliknya memerlukan penyertaan semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang dan etnik.
Menurut beliau, penglibatan kaum Cina dalam Tentera Darat Malaysia (TDM) jauh masih rendah, iaitu hanya 0.3 peratus daripada lebih 90 ribu anggota tentera, manakala kaum India pula sekitar 1.3 peratus.
“Penglibatan bangsa Cina amat-amat rendah iaitu 0.3 peratus dan India pula 1.3 peratus. Yang kita dapat sokongan yang agak baik ialah daripada bumiputera Sabah dan juga Sarawak dengan purata lebih 9 peratus. Selebihnya orang Melayu,
“Kita tak boleh harapkan bangsa Melayu sahaja untuk menganggotai pasukan keselamatan atau Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini. Kita perlukan penglibatan dari bangsa-bangsa lain lebih, untuk bersama-sama pikul tanggungjawab untuk mempertahankan negara tercinta kita” katanya.
Justeru, Muhammad Hafizuddeain menyeru ibu bapa agar menggalakkan anak-anak mereka, khususnya yang baru menamatkan persekolahan, untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang akan dilaksanakan sepenuhnya pertengahan tahun ini.
“Kita menyeru masyarakat khususnya yang bangsa bukan Melayu seperti Cina, India dan masyarakat lain untuk lebih menggalakkan anak supaya menyertai perkhidmatan Angkatan Tentera, ” ujarnya lagi.
Tegas beliau, sokongan rakyat amat penting dalam memperkasakan pertahanan negara, sama ada melalui penyertaan dalam pasukan tetap atau pasukan simpanan seperti Askar Wataniah.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Perbarisan Hari Tentera Darat Ke-92 di Kem Perdana Sungai Besi, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Muhammad Hafizuddeain turut mengakui, faktor ekonomi menjadi antara sebab utama penyertaan kaum bukan Melayu dalam ATM masih rendah.
Ujarnya, ATM sedang mengkaji semula struktur gaji dan ganjaran bagi memastikan perkhidmatan ini lebih menarik serta menjamin kestabilan kerjaya jangka panjang.
“Kenapa bangsa lain kurang minat? Sebabkan tarikan ekonomi itu kurang. People cannot make money in armed forces unfortunetely,
“Jadi, kita nak mereka yakin bahawa perkhidmatan ATM ini sebenarnya, walaupun tidak menjadikan kita kaya raya tetapi boleh suatu jaminan kerjaya dan boleh menjamin keselesaan dalam hidup. Yang penting peluang untuk mereka juga menyumbang kepada khidmat untuk negara,” luahnya lagi.
Selain itu, PTD turut menjelaskan, pihaknya sedang meneroka peluang untuk menyesuaikan peranan anggota berdasarkan kepakaran masing-masing, khususnya dalam bidang teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Ini bagi memastikan ATM dapat memanfaatkan bakat dan kepakaran rakyat Malaysia dalam aspek pertahanan negara.
Beliau menegaskan, keselamatan negara adalah tanggungjawab bersama, dan semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan Malaysia kekal aman dan berdaulat. -airtimes.my
#Pertahanan #keselamatan #MINDEF #TDM #Gajikecik #Airtimes #PTD
KUALA LUMPUR, 20 FEB – Eksesais MANTIS Siri 11/2025 antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Angkatan Tentera Kanada (ATK) yang berakhir hari ini berfungsi sebagai paltform pengukuhan kerjasama antara kedua-dua negara.
Eksesais yang bermula pada 20 Januari hingga 23 Februari 2025 ini memberikan tumpuan terhadap Operasi Melawan Keganasan Dalam Situasi Ancaman Chemical, Biological, Radiological, Nuclear, and Explosive (CBRNe) di kawasan pelabuhan dan dermaga kapal.
Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan (AKS OPLAT), Mejar Jeneral Datuk Rashidin Hashimi Ab Rashid berkata, seramai 22 pegawai dan 114 anggota lain-lain pangkat daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Canadian Special Operations Forces Command (CANSOFCOM) telah menyertai eksesais ini.
“Kerjasama ini telah menggabungkan pengetahuan, kemahiran, dan pengalaman mereka melalui siri latihan silang yang tersusun serta latihan integrasi pasukan yang memuncak dalam latihan medan berasaskan senario,
“Struktur latihan dua hala ini telah memberi tumpuan kepada memperkasa serta memupuk kemahiran untuk beroperasi terhadap ancaman keselamatan asimetri yang rumit dan tidak menentu yang bukan sahaja dalam kalangan pasukan berbeza tetapi juga bersama agensi awam lain,” katanya pada Khamis.

Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan (AKS OPLAT), Mejar Jeneral Datuk Rashidin Hashimi Ab Rashid bersama anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Tentera Kanada (ATK) yang terlibat dalam Eksesais Mantis (Foto: TDM)
Jelasnya lagi, pengalaman kolektif yang diperoleh daripada latihan ini jauh melebihi apa yang dapat dicapai secara individu.
“Ia telah memberikan pendedahan, pengalaman, dan pengajaran yang tidak ternilai, yang akan menjadi platform panduan untuk meningkatkan keupayaan serta sentiasa bersedia menghadapi sebarang ketidaktentuan.
“Latihan ini sudah pasti selari dengan aspirasi ATM untuk terus menjadi pasukan yang mantap dan sentiasa bersiap siaga dalam apa jua situasi,” ujarnya.
Selain itu, TDM dalam satu kenyataan berkata, sebagai kemuncak latihan, demonstrasi akhir diadakan untuk memperlihatkan keupayaan dan koordinasi pasukan terlibat dalam menghadapi ancaman musuh yang
dilengkapi persenjataan kimia serta situasi tebusan orang awam.
“Dalam demonstrasi eksesais ini, pasukan penggempur ditugaskan menawan kawasan objektif bagi menggagalkan cubaan musuh memproses dan melepaskan agen kimia saraf menggunakan IED.

Anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Angkatan Tentera Kanada (ATK) ketika melaksanakan demonstrasi melawan keganasan dalam situasi ancaman CBRNe di kawasan pelabuhan (Foto: TDM)
“Antara elemen penting yang dipamerkan dalam demonstrasi ini termasuk demonstrasi menawan musuh, letupan terkawal yang digunakan untuk membuka laluan strategik serta menghapuskan ancaman serta Pemindahan Perubatan Kecemasan (MEDEVAC),” jelasnya.
Latihan ini juga melibatkan penyertaan daripada pelbagai pasukan dalam TDM dan agensi awam seperti 21 Grup Gerak Khas (GGK), Tim CBRNe, Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD), Pasukan Khas Tentera Laut (PASKAL), Pasukan Khas Tentera Udara (PASKAU), RAJD 3 Div, Jabatan Kimia Malaysia dan STRIDE.
Kejayaan Eksesais MANTIS ini membuktikan bahawa pasukan keselamatan negara sentiasa bersiap siaga dan berdaya saing bagi memastikan keupayaan pertahanan yang kukuh serta kecekapan dalam menghadapi sebarang cabaran pada masa hadapan. -airtimes.my
#Eksesais #MANTIS2025 #TDM #ATM #CANSOFCOM #ATK #Malaysia #Kanada #Airtimes
PAKISTAN, 16 NOV – Eksesais Harimau Markhor Siri 2/2024 di antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Darat Pakistan yang berakhir semalam memberi fokus kepada kepakaran melawan keganasan.
Eksesais yang dilaksanakan bermula 4 November itu melibatkan seramai 5 orang pegawai dan 13 anggota dari 5 Rejimen Renjer Diraja (5 RRD), termasuk seorang Pegawai Evaluasi Doktrin mewakili Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (MK PLDTD).
Manakala, penglibatan dari Tentera Darat Pakistan melibatkan 5 orang pegawai dan 28 anggota dari 4 Light Commando Battalion (LCB).
Markas Divisyen Ke 2 Infantri Malaysia (2 Div) berkata, eksesais ini memberi impak positif dalam mengeratkan hubungan persahabatan antara 2 negara dalam pertukaran idea, ilmu dan kemahiran.
“Eks Harimau Markhor ini telah memberikan fokus kepada Counter Terrorism Op in Jungle Environment, selain perkongsian dari segi taktik, teknik dan prosedur (TTP) serta persekitaran bentuk muka bumi Pakistan,” katanya.
Upacara penutup telah disempurnakan oleh Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Fazal Abdul Rahman bersama Panglima 23 Divisyen Tentera Darat Pakistan, Mejar Jeneral Muhammad Intikhab Alam di National Counter Terrorism Centre (NCTC), Pakistan.
Majlis penutupan turut disaksikan dengan Demonstrasi Clearance of Stronghold sebelum diteruskan dengan Acara Perbarisan Penutup Eks Harimau Markhor Siri 2/2024.
Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, Ambassador Datuk Mohammad Azhar Mazlan, Penasihat Pertahanan Islamabad, Kolonel Noraripin Othman, PS 1 Gerak MK 2 Div, Leftenan Kolonel Ku Syairi Ahmad dan Pegawai Memerintah 5 RRD, Leftenan Kolonell Chai Kean Seng. -airtimes.my
#TDM #Pertahanan #Pakistan #Malaysia #HarimauMarkhor #RRD #latihan
KOTA SAMARAHAN, 13 NOV – Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) dan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) menggagalkan cubaan penyeludupan barangan ke Indonesia di Sektor Pos GABMA Tebedu, pada Selasa.
Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen berkata, aktiviti penyeludupan itu telah dirampas di kawasan berhampiran belakang kantin Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) yang terletak kira-kira 100 meter dari sempadan Indonesia.
“Semasa anggota TDM dan TNI-AD sedang melaksanakan rondaan jarak dekat di GABMA Tebedu, Seksyen telah menjumpai barangan mencurigakan yang ditutupi dengan bungkusan hitam di kawasan berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati, terdapat 48 paket gula jenama Prai Super Premium, 16 kampit beras nasi penyek setiap 10 kilogram (kg), 7 kampit beras jenama Bunga Tulip 10 kg dan 3 guni bawang putih,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya lagi, hasil pemeriksaan juga mendapati tiada barangan terlarang dan berbahaya dijumpai di sekitar kawasan tersebut.
“Kesemua hasil rampasan dianggarkan berjumlah RM 1,140.93.
“Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Tebedu dan kesemua hasil rampasan telah diserahkan kepada pihak Kastam untuk tindakan lanjut,” ujar beliau. -airtimes.my
#Malaysia #seludup #TDM #Indonesia #Airtimes
JOHOR, 14 Mei – Seorang tekong darat bersama 3 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia diberkas oleh anggota Tentera Darat Malaysia (TDM), pada Jumaat.
Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) memaklumkan, kesemua PATI termasuk tekong tersebut ditahan melalui Op MERPATI I KTJ 3 Div di kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged).
“Kumpulan Serkap telah berjaya menangkap 2 orang lelaki dan seorang perempuan warga asing yang sedang bersembunyi di hutan kawasan am sekitar Sungai Rengit pada jam 4.15 pagi,
“PATI berkenaan dipercayai sedang menunggu bot Tekong Laut untuk mengambil mereka di Persisiran Pantai Sungai Rengit,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut pihak 3 Div, pada jam 4.20 pagi, Kumpulan Tindak Cepat telah diaturgerakkan dan berjaya menangkap seorang lagi lelaki warga asing dipercayai Tekong Darat yang turut bersembunyi di sekitar Sungai Rengit pada jam 4.30 pagi.
“Kesemua PATI dan Tekong Darat yang berumur antara 23 hingga 45 tahun ini telah di bawa ke Balai Polis Bayu Damai selepas menjalani saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan Sungai Rengit,
“Kemudian, kesemua mereka diserahkan kepada IPD Kota Tinggi,” tambah kenyataan itu.
Dalam masa yang sama, pihak 3 Div menasihati penduduk sekitar persisiran Pantai Johor untuk berkongsi maklumat berkaitan tekong yang terus-menerus membawa masuk PATI ke dalam negara tanpa menghiraukan unsur-unsur yang boleh mengugat kedaulatan negara seperti ini.
“Penangkapan PATI dan tekong oleh pasukan keselamatan yang bertugas di persisiran Pantai Johor ini akan terus dilaksanakan bagi memastikan jenayah rentas sempadan dibanteras sepenuhnya,” jelas 3 Div. -airtimes.my
JOHOR, 4 April – Tentera Darat Malaysia (TDM) telah menahan 2 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia di sekitar jalan raya Sedeli Besar ke Sedeli Kecil iaitu Kampung Tuan Sheh, pada Ahad lalu.
Kejadian tersebut berlaku kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Bgd).
Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam kenyataan berkata, Rejimen Kedua Kor Armor Diraja (2 KAD) telah mengesan kehadiran 2 orang wanita yang mencurigakan di kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan terhadap 2 individu wanita tersebut, mendapati mereka tidak memiliki dokumen yang sah dan berusia 38 tahun dan 50 tahun,
“PATI tersebut turut menjalani saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan Sungai Rengit dan seterusnya di bawa ke Balai Polis Bayu Damai,” ujar 3 Div dalam kenyataannya.
Tambahnya lagi, PATI itu diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia, Johor Bahru selepas selesai menjalani ujian saringan COVID-19.
Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM1,115.82 melibatkan wang tunai dan 2 buah telefon bimbit yang terdiri daripada pelbagai jenama.
Tambah 3 Div, pihaknya akan terus komited memperkasakan kawalan keselamatan di sempadan negara melalui pemantauan serta penguatkuasaan berterusan bagi memastikan jenayah rentas sempadan dapat dikekang demi kedaulatan negara. -airtimes.my
1,000 warga Tentera Darat dirai dalam Majlis Berbuka Puasa Peringkat TD
KUALA LUMPUR, 31 Mac – Seramai 1,000 orang warga Tentera Darat Malaysia (TDM) di sekitar Lembah Klang diraikan dalam Majlis Berbuka Puasa TD Tahun 2023, pada Khamis.
Majlis telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman bersama isterinya, Datin Seri Ramlah Dawi di Masjid Thoriq bin Ziyad, Kem Perdana Sungai Besi.
TDM dalam satu kenyataan memaklumkan, majlis tersebut melibatkan pegawai dan anggota Tentera Darat serta ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT).
Sempena majlis berbuka ini, Mohammad juga turut berkesempatan menyampaikan sumbangan kebajikan kepada 5 orang penerima yang terdiri daripada anggota serta ahli keluarga yang mempunyai masalah kesihatan yang kronik dan penyampaian Ihya’ Ramadan kepada formasi.
“PTD turut memberi sumbangan kepada saudara baru, sumbangan kepada 10 orang penerima yang memerlukan dan sumbangan kepada penuntut Sekolah Tahfiz Anak Yatim Angkatan Tentera Malaysia (STAY ATM),” jelas TDM dalam kenyataan.
Turut dihadir, Pemangku Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi; Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad serta pegawai-pegawai kanan TD.
“Selain itu, majlis dianjurkan bertujuan bagi menyemarakkan bulan Ramadan serta mengeratkan silaturahim bersama warga TD selain mengambil berat tentang kebajikan anggota,”ujar TDM lagi. -airtimes.my
KUALA LUMPUR, 12 Mac – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM menegaskan penyertaan generasi muda dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mampu menjadikan pasukan itu lebih efektif dalam menghadapi cabaran serta ancaman keselamatan.
Beliau menyatakan perkara tersebut semasa menyampaikan ucapan dalam Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Muda Program 2U2I Juruterbang ATM.
“Kehadiran generasi muda dalam angkatan ini adalah dialu-alukan kerana mereka penyambung kepada segala legasi dan tradisi,
“Mereka mampu menjana pemikiran serta idea baru dalam menambah baik kualiti dan keberkesanan angkatan dalam mendepani ancaman-ancaman keselamatan masa hadapan yang semakin kompleks,” katanya dalam majlis yang diadakan di Dewan Tun Templer Kem Perdana Sungai Besi, semalam.
Terdahulu, Panglima Angkatan Tentera memakaikan pangkat Pegawai Muda kepada 18 Pegawai Kadet ATM yang telah berjaya menamatkan Program 2U2I.

“Kehadiran generasi muda dalam angkatan ini adalah dialu-alukan kerana mereka penyambung kepada segala legasi dan tradisi” – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM. Foto: Markas ATM
“Saya berasa amat gembira dan berbangga apabila adanya generasi anak muda yang sudi menyahut cabaran untuk menjalani laluan kehidupan yang berbeza daripada rakan-rakan sebaya mereka di luar sana,” kata Affendi.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada kesemua Pegawai Kadet yang berjaya dan kini menjadi sebahagian daripada keluarga besar ATM.
Majlis ini turut dihadiri oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob; dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM.
Menurut Bahagian Hal Ehwal Awam Markas ATM, pelaksanaan Program 2U2I merupakan satu detik bersejarah dimana 18 Pegawai Kadet yantg terlibat adalah dari 2 cabang perkhidmatan iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Mereka mampu menjana pemikiran serta idea baru dalam menambah baik kualiti dan keberkesanan angkatan dalam mendepani ancaman-ancaman keselamatan masa hadapan yang semakin kompleks,”
Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM
“Mereka telah berjaya menamatkan Program Latihan PK 2U2I dan Majlis Pemakaian Sayap Penerbangan telah dilaksanakan oleh Panglima Tentera Udara di Kolej Tentera Udara (KTU) pada 17 Disember 2022 tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, komposisi Pegawai Muda yang terlibat adalah 3 lelaki dari TDM manakala TUDM terdiri daripada 14 lelaki dan seorang wanita.
“Majlis ini merupakan satu pengiktirafan yang amat bermakna kepada ATM kerana berjaya melahirkan juruterbang muda melalui program Latihan 2U2I yang menggunakan kepakaran di peringkat TUDM,” kata kenyataan itu.

Seramai 18 Pegawai Kadet Program 2U2I Angkatan Tentera Malaysia telah ditauliahkan sebagai Pegawai Muda. Majlis ini menyaksikan seorang Pegawai Kadet Wanita berjaya menharungi cabaran program tersebut. Foto: Markas ATM
Program 2U2I merangkumi dua fasa iaitu peringkat akademik (2U) dan fasa penerbangan (2I) telah mula dilaksanakan semenjak tahun 2018.
Program ini telah dilaksanakan mulai 13 Jul 18 hingga 7 Feb 21 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bagi program 2U dengan LULUS Kepujian Kelas Kedua (Tinggi), Ijazah Sarjana Muda Penerbangan (ZK61).
“Seterusnya mulai 8 Februari 2021 hingga 17 Disember 2022, meneruskan latihan di Institut Penerbangan 1 dan Institut Penerbangan 2 (INSPEN 1 dan INSPEN 2) bagi program 2I.
“Bagi Pegawai Kadet yang LULUS Kursus Asas Penerbangan (BFC) Siri 83/21 dan Kursus Asas Penerbangan Helikopter (BHFC) Siri 63/21, mereka seterusnya layak ditauliahkan sebagai Pegawai Muda ATM dengan pangkat Leftenan Muda,” jelas kenyataan itu. – airtimes.my
