354
KUANTAN, 26 APRIL – Eksesais Jungle Falcon Siri 2/2025 antara Tentera Darat Malaysia (TDM) DAN Tentera Emiriah Arab Bersatu (UAELF) yang berakhir hari ini berfungsi sebagai platform berkonsepkan Operasi Mekanize dan Operasi Khas secara bersama dalam konteks peperangan konvesional.
TDM dalam satu kenyataan berkata, beberapa siri latihan termasuk Serangan Mekanize, Penempatan Tempur, Latihan Menembak Senjata Berat serta Operasi Khas telah dijalankan.
“Kesemua latihan ini direka untuk mensimulasikan suasana pertempuran sebenar serta menguji ketahanan fizikal danmental setiap anggota yang terlibat.
“Melalui pendekatan ini, kedua-dua pasukan dapat menilai tahapkesiapsiagaan serta keberkesanan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Ujarnya, TDM percaya bahawa inisiatif latihan bersama seperti ini adalah landasan terbaik dalam memperkukuh pertahanan negara dan memperluaskan kerjasama pertahanan serantau ke arah kestabilan dan keselamatan global.
Eksesais Jungle Falcon Siri 2/2025 telah berlangsung bermula pada 14 April sehingga 26 April di beberapa lokasi di Kuantan.
Eksesais ini merupakan latihan bilateral yang dilaksanakan di antara TDM dan UAELF yang melibatkan seramai 77 Pegawai dan 766 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari kedua-dua negara.
Majlis penutup Eksesais Jungle Falcon Siri kali ini telah disempurnakan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di FELDA Sungai Panching Timur, Kuantan Pahang.
Majlis penyempurnaan penutup turut disaksikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar, Panglima Tentera Darat,Jeneral Tan Sri Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan, Chief of Staf UAELF, Staff Lt Gen H.E Eisa Saif Mohamed Ablan Almazrouei, dan Commander UAELF,Staff Major Gen Yousef Maayouf Saeed Humaid Al Hallami. -airtimes.my
#Eksesais #JungleFalcon #TDM #ATM #UAELF #Malaysia #airtimes