if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Teknologi Pertahanan Kapal kelas ADA Tentera Laut Turkiye, TCG BÜYÜKADA akan tiba dan meriahkan LIMA 2025

Kapal kelas ADA Tentera Laut Turkiye, TCG BÜYÜKADA akan tiba dan meriahkan LIMA 2025

by Aqilah Azman

Kapal korvet kelas ADA bukanlah sesuatu yang asing bagi pemerhati pertahanan tempatan. Kapal kelas ini telah dipilih sebagai Littoral Mission Ship (Kapal Misi Pesisir) Batch 2 (LMSB2) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Hampir setahun selepas kapal kelas ini tiba di Malaysia pada tahun lalu, Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025 sekali lagi menyaksikan kehadiran kapal kelas ADA.

Pada Mei tahun lalu, Pelabuhan Klang menyaksikan kehadiran TCG KINALIADA yang berlabuh seketika sebelum berlayar ke Jepun. Pada kali ini, TCG BÜYÜKADA hadir untuk menyertai segmen maritim LIMA 2025.

Melihat kepada ciapan oleh Kementerian Pertahanan Turkiye, TCG BÜYÜKADA telah pun memulakan pelayarannya ke Malaysia pada 19 April 2025 lalu.

Selain memeriahkan acara LIMA 2025, pelayaran ini mempunyai misi lain yang penting untuk Turkiye.

“Penyertaan ke LIMA 2025 adalah untuk mengukuhkan hubungan dengan engara serantau,

“Selain itu, pelayaran ini mengangkat Turkiye dan angkatan lautnya di persada antara bangsa serta mempromosikan industri pertahanan,” kata Kementerian Pertahanan Turkiye di akaun media sosial rasminya.

Seperti TCG KINALIADA, TCG BÜYÜKADA merupakan salah satu daripada 5 kapal kelas ADA dalam Tentera Laut Turkiye. Melihat kepada postur pertahanan Turkiye, kapal korvet yang dihasilkan pada fasa awal projek kapal nasional (MILGEM) ini memainkan peranan dalam melaksanakan peperangan anti kapal selam (ASuW).

Disebalik ADA

 

ADA membawa maksud pulau. Pembentukan armada kapal kelas ADA dalam Tentera Laut Turkiye bermula dengan pembinaan kapal pertamam, TCG HEYBELIADA pada tahun 2005 dan kemudiannya dioperasikan secara rasmi 6 tahun kemudian.

Sehingga kini, Turkiye mengoperasikan 5 kapal kelas ADA. 4 daripadanya adalah sebagai kombatan dan satu lagi sebagai kapal perisikan isyarat (SIGINT).

Eksport

 

Model ADA turut mendapat permintaan eksport diperingkat antarabangsa. Tentera Laut Pakistan telah memilih kapal model ini untuk memenuhi peranan sebagai ketumbukan anti kapal selam dalam kelas BABUR.

Pada tahun 2020, Ukraine telah membeli 2 buah kapal ADA dari STM.

Di Malaysia, kapal kelas ini telah dipilih ini memenuhi keperluan TLDM bagi mengisi keperluan kombatan LMS di bawah Transformasi 15-to-5. Perolehan yang dibuat pada tahun 2024 itu menyaksikan pembinaan 3 buah kapal ADA oleh STM.  Kesemua kapal-kapal LMSB2 ini akan diterima oleh TLDM pada tahun 2027.

Teknologi Turkiye

 

Melihat kepada spesifikasi asas kapal ADA, ia dilengkapi dengan stealth technology (teknologi halimunan). Halimunan yang dimaksudkan bukan tidak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi kesukaran alat penderia (sensor) untuk mengesan kapal ini.

Dalam pada itu, kapal ini turut dijangka dilengkapi sepenuhnya dengan sistem persenjataan termasuk peluru berpandu ATMACA buat Turkiye bagi menggantikan peluru berpandu Harpoon buatan Amerika Syarikat yang digunakan ketika ini. ATMACA merupakan peluru berpandu kruis antikapal dan mampu mengenai sasaran sejauh 220 kilometer (km).

Selain itu, kapal kelas ADA lazimnya dilengkapi dengan meriam 76mm OTO Melara, meriam kedua (secondary cannon), sistem pertahanan udara dan sistem peperangan bawah permukaan.

Pun begitu, spesifikasi ini adalah berbeza mengikut negara dan peranannya.

Mungkin kehadiran TCG BÜYÜKADA ke LIMA 2025 memberikan sedikit bayangan kepada rakyat Malaysia bagaimana rupa dan susuk kapal LMSB2 yang akan dimiliki oleh TLDM. Kita mengharapkan LMS Batch 3 (LMSB3) kelak adalah dari kapal yang sama memandangkan Pelan 15-to-5 TLDM memberikan penekanan kepada streamlining (keseragaman) kapal. – airtimes.my

#AirTimes #KorvetADA #LMSB2  #Turkiye #LIMA’25 #Pertahanan #Langkawi #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply