UKRAINE, 25 APRIL — Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, mendakwa Rusia telah menggunakan peluru berpandu balistik buatan Korea Utara dalam serangan terbaharu ke atas Kyiv.
Menurut Zelensky, serpihan yang ditemui di lokasi serangan menunjukkan senjata tersebut berkemungkinan besar adalah daripada jenis peluru berpandu balistik KN-23A, yang dibekalkan oleh Korea Utara.
“Penyiasat, pakar forensik dan pakar teknikal kami juga sedang menjalankan pemeriksaan di lokasi serangan peluru berpandu dan dron, mengenal pasti serta mengesahkan keadaan serangan tersebut.
“Mereka turut menjalankan analisis terhadap serpihan peluru berpandu dan dron yang ditemui bagi mengenal pasti perincian penuh mengenai jenis senjata ini, termasuk komponen kritikal yang dibekalkan kepada Rusia atau Korea Utara oleh negara ketiga dan digunakan dalam pembuatannya,” katanya menerusi kenyataan di media sosial.
Tegasnya, sekiranya dakwaan ini disahkan, ia akan menjadi bukti kukuh tentang pakatan jenayah antara Rusia dan Korea Utara yang sebelum ini dinafikan kedua-dua negara berkenaan.
Mengulas lanjut, Zelensky mendedahkan, hampir 150 serangan oleh tentera Rusia telah dilancarkan terhadap kedudukan Ukraine dengan lebih 4,500 melibatkan pengeboman dan senjata berat.
“Laporan oleh Panglima Angkatan Tentera, Syrskyi mengenai situasi di barisan hadapan setakat 24 April. Hampir 150 serangan oleh tentera Rusia terhadap kedudukan kami serta lebih 4,500 insiden pengeboman, termasuk menggunakan senjata berat, telah direkodkan,
“Secara asasnya, pihak Rusia cuba melancarkan serangan dengan perlindungan daripada serangan udara berskala besar. Namun, mereka telah disambut dengan tindak balas yang kukuh,” ujarnya.
Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan, Korea Utara telah membekalkan lebih 140 peluru berpandu balistik, termasuk model KN-23 dan KN-24, serta berjuta-juta peluru dan roket kepada Rusia sejak permulaan konflik.
Anggaran menunjukkan bahawa sehingga 70 peratus peluru yang digunakan oleh artileri Rusia kini berasal dari Korea Utara. -airtimes.my
#AirTimes #Ukraine #Rusia #KoreaUtara #Peluruberpandu #konflik